Ada kesan lebam pada budak 6 tahun maut dalam mesin basuh rumah nenek 


  • 112
  • Selasa, 17 Okt 2023

Mangsa ditemukan oleh neneknya sendiri dalam mesin basuh muatan 12 kg yang sedang beroperasi. — Gambar Hiasan

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan maut dalam sebuah mesin basuh di rumah neneknya dekat Kampung Sungai Tapah Tambahan, Ipoh, Perak pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian kiri kepala mangsa, Faris Mikail Muhamad Faez yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri itu.

Menurutnya, budak tersebut ditemukan oleh neneknya sendiri dalam mesin basuh muatan 12 kilogram (kg) yang sedang beroperasi.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila Faris Mikail yang juga kanak-kanak autisme itu memanjat mesin basuh berkenaan sebelum terjatuh hingga menyebabkan kepalanya terhantuk pada dinding mesin tersebut.

"Sewaktu insiden berlaku, air baharu disalurkan masuk ke dalam mesin basuh berkenaan dan terdapat pakaian di dalamnya.

"Ketika dijumpai neneknya pada pukul 9.30 pagi, mesin basuh tersebut telah pun berhenti beroperasi," katanya.

Jelas beliau, ketika kejadian ahli keluarga lain kanak-kanak itu didapati sedang tidur.

Tambahnya, mangsa yang tidak sedarkan diri segera dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan menaiki ambulans.

“Bantuan pernafasan (CPR) diberikan kepada kanak-kanak itu oleh petugas perubatan namun tidak menunjukkan tanda positif sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11.02 pagi,” katanya.

Menurut Yahaya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul.

Ujarnya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dengan kes disiasat mengikut Seskyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

“Jenazah kanak-kanak itu telah dituntut keluarganya dan dikebumikan di Johor,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram