Anggota maut akibat bom lempar meletup ketika latihan, TUDM tubuh Lembaga Penyiasatan kenal pasti punca


  • 112
  • Ahad, 25 Jun 2023

TUDM mengesahkan seorang anggotanya maut selepas terlibat dalam insiden bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin pada Ahad.

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan seorang anggotanya maut selepas terlibat dalam insiden bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan pada Ahad.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian yang turut menyebabkan kecederaan parah terhadap dua jurulatihnya berlaku ketika sesi latihan di Tapak Latihan Grenade Asas, di lapang sasar kem berkenaan.

Katanya, pada waktu kejadian, kumpulan tersebut sedang menjalankan Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23.

“Kemalangan berlaku lebih kurang pada pukul 12.10 tengah hari mengakibatkan seorang penuntut meninggal dunia di tempat kejadian.

"Dua orang jurulatih mengalami kecederaan diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan dirujuk ke Hospital Segamat.

“Pihak TUDM telah menghubungi waris anggota TUDM yang terlibat dan menyerahkan kes kejadian kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, ia turut memaklumkan bahawa TUDM seterusnya akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Pada masa sama, pihak TUDM turut menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan dijalankan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai dan turut menghormati sensitiviti keluarga anggota terlibat.

"Maklumat perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram