POLIS merekodkan lebih 10 keterangan dalam siasatan berhubung dakwaan buli melibatkan pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia termasuk lima pelatih yang mendakwa menjadi mangsa, selain enam pelatih yang didakwa melakukan perbuatan itu.
"Mereka dipanggil memberi keterangan sebaik sahaja pihak kami menerima laporan. Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih berjalan dengan semua pihak termasuk TUDM memberikan kerjasama yang baik.
"Kami sedang mengumpulkan sebanyak mana saksi termasuk penyelia pelatih terlibat untuk melengkapkan siasatan, sebelum kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Khas Sempena Pertukaran Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada Selasa.
Ramli yang menerajui polis Pahang sejak Jun 2021 dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKSK) Bukit Aman mulai bulan ini dan tempat beliau diisi Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman.
Sebelum ini, Ramli mengesahkan pihaknya menerima laporan empat lagi pelatih mendakwa turut menjadi mangsa buli di pangkalan udara itu selepas seorang bapa membuat laporan polis mendakwa anaknya dibuli di situ.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dengan sengaja.
Sementara itu dalam ucapannya, Ramli mengingatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan termasuk dalam kecerdasan buatan (AI) serta kemahiran teknikal dan kemahiran insani (soft skill) seperti komunikasi, untuk menempa kejayaan lebih baik.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Pahang kepada 43 warga kontinjen tersebut serta tujuh orang awam. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram