LAWATAN selama lima hari Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Turkiye dan Iran baru-baru ini membuahkan hasil ‘lumayan’ apabila sebanyak 19 Memorandum Persefahaman (MoU) dan tiga sesi Memorandum Kerjasama (MoC) dimeterai.
Mohamed Khaled menyifatkan lawatan kerja yang bermula dari 5 hingga 9 Oktober itu dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi dan seterusnya melonjakkan kualiti universiti di negara masing-masing.
Selain itu, beliau berkata, lawatan itu juga membantu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneroka prospek kerjasama dalam aspek penyelidikan, pertukaran tenaga pakar serta program mobiliti jangka pendek pelajar bagi kedua-dua negara terlibat.
"Pemeteraian MoU ini jelas membuktikan bahawa kualiti IPTA negara kian diyakini sehingga ia diiktiraf negara luar. Semoga pencapaian yang membanggakan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha kita memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara di peringkat global," katanya.
Dua hari pertama lawatan, Mohamed Khaled berada di Turkiye untuk memeterai tiga MoU antara Istanbul Gelisim University (IGU) bersama tiga Universiti Awam (UA) Malaysia iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM).
Barisan delegasi yang menghadiri sesi pemeteraian MoU dan MoC antara UA Malaysia dan D8IU.
Dalam siri lawatan di negara Eropah itu, pemeteraian perjanjian meliputi pelaksanaan Program Pesisir antara USM dan IGU serta beberapa perkara yang dipersetujui termasuk pertukaran pelajar dan staf, kerjasama penyelidikan, membangunkan projek secara penyelidikan dan melakukan penerbitan bersama serta penglibatan lebih banyak syarikat multinasional dari Turkiye.
Siri lawatan kerja tersebut kemudiannya bersambung di Iran pada 7 hingga 9 Oktober dengan bertujuan untuk mendapatkan manfaat dalam bidang sains dan teknologi dengan mengadaptasi inovasi yang dibangunkan agar mampu menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan negara.
Hasil lawatan tiga hari itu menyaksikan sebanyak lima MoU dan dua MoC telah dimeterai bersama University of Isfahan, lima MoU dan MoC bersama Islamic Azad University, lima MoU bersama D-8 International University (D8IU) dan satu MoU bersama Art University of Isfahan.
Antara bentuk kerjasama disepakati dalam perjanjian tersebut adalah dalam bidang agrikultur, sains dan teknologi, pertukaran pelajar, penyelidikan dalam bidang kejuruteraan, penganjuran bengkel dan program latihan bersama serta memperluaskan kursus dual degree yang mampu meningkatkan produktiviti dan kebolehpasaran para pelajar.
Kunjungan hormat Mohamed Khaled ke atas Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran, Mohammad Ali Zolfigol.
Kunjungan itu turut disulami dengan syarahan yang disampaikan oleh Mohamed Khaled dengan inipati mengenai kepentingan jalinan kerjasama untuk menangani isu seperti keterjaminan makanan, pendidikan dan kemahiran serta perubahan iklim.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled juga berkesempatan menghadiri Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah D8IU di Hamedan secara bersemuka dan secara maya.
Mesyuarat yang menghimpunkan wakil dari enam buah negara iaitu Malaysia, Iran, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Nigeria itu membincangkan beberapa agenda merangkumi daripada hal pemberian akreditasi kepada D8UI sehingga mencalonkan pelajar berkelayakan untuk melanjutkan pelajaran di institut berkenaan dan diberikan biasiswa.
Mohamed Khaled menerima cenderamata daripada Mohamad Ali Zolfigol.
Lawatan kerja itu menjadi lebih lengkap apabila satu sesi kunjungan hormat ke atas Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran, Mohamad Ali Zolfigol turut diadakan di bandar Hamedan bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan kedua-dua buah negara melalui sektor pendidikan tinggi.
Hasil perbincangan itu, Mohamaed Khaled berkata, Mohammad Ali berhasrat untuk meneroka lebih banyak ruang dan peluang kerjasama dengan Malaysia melalui sektor pendidikan tinggi, di samping akan melaksanakan jalinan kerjasama dalam penyelidikan serta pembangunan dalam bidang sains dan teknologi.
“Inisiatif yang dijayakan ini dapat diterjemah dengan daya usaha serta komitmen yang tinggi, seterusnya mampu melonjakkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang sarat dengan sumbangan terhadap kesejahteraan masyarakat di peringkat global,” jelasnya. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram