[VIDEO] Warga asing sekadar tersenyum lepas 'kantoi' beli minyak paket bersubsidi


  • Tular
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki warga asing membeli beberapa bungkus minyak paket bersubsidi di sebuah pasar raya.

MINYAK paket antara barang keperluan asas yang terdapat dalam senarai barangan bersubsidi di mana ia hanya diperuntukan buat warganegara Malaysia.

Namun, isu pembelian minyak paket oleh warga asing nampaknya tiada titik noktah walaupun sudah berkali-kali tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai membeli beberapa bungkus minyak paket bersubsidi.

Menerusi video yang dimuat naik di Twitter (X) oleh @nanmanjoi8715 pada Jumaat, seorang lelaki warganegara Malaysia menegur warga asing yang dilihat membawa sebungkus plastik berisikan beberapa bungkus minyak paket.

Berdasarkan informasi yang dikongsikan itu, difahamkan lokasi dan masa kejadian tidak dapat dikenal pasti.

"Warga asing dan minyak paket berpisah tiada," tulisnya di dalam video tersebut.

Pada masa yang sama, lelaki yang dipercayai pemilik video tersebut turut sempat bertanya kepada warga asing itu berkenaan jumlah minyak paket yang dibelinya pada waktu itu.

"Beli minyak ke? Di mana? Pasar raya mana? Berapa ringgit awak beli?," katanya.

Namun, warga asing tersebut dilihat mengelak untuk menjawab pertanyaan yang dilontarkan bertubi-tubi kepadanya, sebaliknya hanya melemparkan senyuman.

"Tiada, dua sahaja, RM20 semua," kata warga asing tersebut sambil disangkal oleh pemilik video.

Dalam video sama, warga asing itu dilihat mahu mengelak daripada terus diasak dan berlalu pergi bersama bungkusan minyak paket yang dibelinya.

Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang tindakan atau kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian setakat ini.

Sementara itu, isu kekurangan bekalan minyak paket bersubsidi ini bukan sesuatu yang baharu, namun ia dilihat semakin serius dan kritikal disebabkan pemansuhan subsidi minyak botol pada 1 Julai.

Pada 15 September, isu warga asing berebut membeli minyak paket bersubsidi juga tular yang turut membangkitkan kemarahan seluruh warga tempatan.

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan penjualan minyak paket kepada warga asing selepas membuat siasatan terhadap pasar raya terbabit.

Namun, isu minyak paket ini masih lagi belum reda dan warga asing juga dilihat semakin berani mengambil hak yang diberikan khusus buat warganegara Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram