Pekebun getah: Paras harga pengaktifan IPG naik daripada RM2.70 kepada RM3 sekilogram 


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Anwar berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira keluhan yang dikongsikan oleh pekebun getah di dalam negara. — Gambar hiasan

KERAJAAN bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.70 sen kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira keluhan yang dikongsikan oleh pekebun getah di dalam negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM90 juta kepada RISDA dan FELCRA untuk memberikan galakan kepada pekebun kecil.

Ia bagi membolehkan kumpulan tersebut bagi mengoptimumkan penggunaan tanah ladang melalui penghasilan tanaman makanan dan ternakan seperti cendawan, nanas, kelapa matag, lembu dan ayam.

"Bagi meningkatkan produktiviti hasil perladangan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing melalui mekanisasi dan automasi seperti dron dan kenderaan pandu sendiri, skop galakan cukai automasi akan diperluas untuk meliputi sektor komoditi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Sementara itu, Anwar berkata, industri kelapa sawit negara perlu terus dipertahan daripada salah tanggap Eropah.

Untuk itu, beliau berkata, kerajaan menyediakan RM70 juta bagi meningkatkan tahap kemampanan industri sawit serta memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit di pentas antarabangsa.

Belanjawan 2024 memperuntukkan sejumlah RM 393.8 bilion dengan RM 303.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus manakala RM 90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Belanjawan kali ini mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Ia merupakan belanjawan kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang menjadi induk kepada dasar-dasar diluncurkan iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12).

Tiga tumpuan utama Belanjawan 2024 adalah tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram