TULAR sebuah video memaparkan seorang menantu wanita bertindak kasar terhadap ibu mentuanya sendiri kerana tidak mahu lagi tinggal bersama di daerah Thane di Maharashtra, India sejak Rabu.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang oleh suaminya secara senyap-senyap, isterinya bernama Komal Lalit Dayaramani, 53, itu dilihat membuka pintu sebelum mula mengeluarkan kata-kata kesat dan bertindak mengheret ibu mentuanya ke lantai untuk mengusirnya keluar.
Pada masa yang sama, warga emas itu turut dilihat cuba untuk melawan namun tidak berjaya sebelum terlantar di atas lantai sambil meronta kesakitan.
Dalam rakaman sama, difahamkan kejadian berlaku pada 14 September lepas dan ketegangan berlaku disebabkan Komal yang tidak mahu lagi ibu mentuanya tinggal bersama di rumah suaminya itu.
Komal yang bekerja sebagai seorang ejen insurans itu mendakwa bahawa dia tidak menyukai ibu mentuanya tinggal bersama mereka disebabkan sikapnya yang terlalu cerewet dan sering beleter.
Tambahnya lagi, sejak kehadiran ibu mentuanya ke rumah suami membuatkan Komal merasa kurang privasi ketika berada di rumah.
Susulan itu, suaminya bertindak untuk membuat laporan polis berserta rakaman sebagai bahan bukti atas pertuduhan sengaja mencederakan ibunya.
Sementara itu, Komal telah didakwa mengikut Seksyen 336, 337, 323, 504, dan 506 Kanun Keseksaan India (IPC) dan kes disiasat selepas ibu mentua tertuduh melaporkan kejadian itu di Balai Polis Kopri. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram