[VIDEO] Pinjam along lebih mudah berbanding pinjaman bank, jawab menteri di Dewan Rakyat


  • Primer
  • Rabu, 11 Okt 2023

Shamsul Anuar menjawab isu pinjaman along yang masih berleluasa kerana masih terdapat permintaan daripada masyarakat di Dewan Rakyat pada Selasa. — Bernama

KEGIATAN along masih berleluasa kerana masih terdapat permintaan daripada masyarakat untuk mendapatkan pinjaman wang menerusi institusi kewangan tidak berlesen, jawab Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata, masyarakat ‘tertarik’ kerana tawaran along lebih mudah daripada pinjaman ditawarkan institusi perbankan dan institusi kewangan berlesen.

Tambah beliau, masyarakat juga lebih cenderung memilih along kerana kesukaran mendapat pinjaman daripada institusi kewangan berlesen.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Selasa, menjawab pertanyaan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN - Besut) yang meminta kerajaan mengatasi masalah kes keganasan yang telah dilakukan oleh along.

Tambah beliau, lebih 1,000 tangkapan direkodkan pada 2021 dan pada 2022, jumlah kes adalah 1,009 melibatkan 1,262 tangkapan.

Bagaimanapun, Shamsul Anuar menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa melakukan operasi dan tangkapan terhadap institusi pinjaman wang tidak berlesen.

“Sebanyak 734 operasi telah dijalankan sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2023 di seluruh negara.

“Seramai 898 orang telah ditangkap dan sebanyak 146 kes telah dibuat pertuduhan.

"Selain daripada itu, kita bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan bertindak menurunkan iklan pinjaman wang, meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memadam iklan pinjaman wang tidak berlesen di media sosial dan mengesan along melalui pelbagai sumber.

“Ia termasuk nombor telefon yang terdapat pada iklan. Polis juga menjalankan kerjasama dua hala dengan syarikat telekomunikasi, SKMM untuk membantu mengesan lokasi suspek,” katanya. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram