DATUK Amizar Abu Adam berikrar akan memikul amanah yang diberikan pengundi kepadanya dengan baik dan meneruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun selepas menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Amizar, 53, yang mewakili Barisan Nasional (BN) turut melahirkan rasa syukur atas kemenangan itu setelah beliau sebelum ini tewas sebagai calon di DUN Ketari pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan BN serta pengundi kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi wakil rakyat di kawasan yang dikenali sebagai 'penghujung Pahang' itu.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi DUN Pelangai yang telah memilih BN sebagai parti yang akan terus memberikan perkhidmatan di sini," katanya ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul pada Sabtu.
Amizar bersama Muhammad Shafieq Hafizilman Johari, 29, anak kepada Allahyarham Datuk Seri Johari Harun selepas diisytiharkan sebagai pemenang pada PRK DUN Pelangai. — Bernama
Ahli Jawatankuasa Umno Bentong itu menang dengan majoriti 2,949 undi apabila meraih 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat (4,375 undi) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni (47 undi).
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan selepas Johari, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
Kemenangan Amizar, 53, yang merupakan anak jati Felda Chemomoi itu sekali gus memastikan DUN Pelangai, yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Kuantan, kekal sebagai kubu kuat BN di Pahang sejak tahun 1986.
Ia juga menyaksikan Amizar meneruskan legasi mentornya, bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob yang menyandang kerusi itu selama lapan penggal bermula 1986 sehingga 2022, sebelum Adnan memutuskan untuk tidak bertanding pada PRU15 dengan tempatnya digantikan Allahyarham Johari.
Amizar yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kepimpinan Strategik Universiti Sains Malaysia (USM) membuat kemunculan sulung pada PRU15 dengan bertanding atas tiket BN di DUN Ketari.
Beliau bagaimanapun tewas dengan majoriti tipis 120 undi kepada calon PH Su Keong Siong yang memperoleh 9,722 undi dalam pertarungan tiga penjuru yang turut melibatkan calon PN Tan Wei Leong (4,290 undi). — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram