'Kemenangan BN di Pelangai petanda tiada gelombang hijau dekat Pahang'


  • Politik
  • Ahad, 08 Okt 2023

Wan Rosdy (lapan, kiri) dan Amizar (sembilan, kiri) bergambar bersama barisan kepimpinan BN dan PH selepas diisytiharkan sebagai pemenang PRK DUN Pelangai. — Bernama

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kejayaan BN mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sebagai petanda tidak ada 'gelombang hijau' di Pahang.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk jentera parti, sama ada daripada BN mahupun rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

"Ini adalah petanda bahawa tidak ada gelombang hijau di Pahang dan yang ada hanyalah gelombang biru (BN) dan merah (Pakatan Harapan) yang semakin diterima rakyat Malaysia. Insya-Allah," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah atas kejayaan calon BN Datuk Amizar Abu Adam dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi BN Pahang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.

BENTONG, 29 Sept -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berucap pada program Sentuhan Kasih Desa @ Simpang Pelangai - Mini Karnival Usahawan Desa & Mini Ekspo TVET @ Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) hari ini.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau juga berterima kasih kepada pengundi DUN Pelangai dan semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan itu termasuk jentera akar umbi di pusat daerah mengundi (PDM) serta kepimpinan Umno Bahagian Bentong yang diterajui Pemangku Ketua Umno Bahagian Datuk Seri Mohammad Zaini Salleh.

PRK DUN Pelangai menyaksikan Amizar menang dengan majoriti 2,949 undi selepas memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni yang hanya meraih 47 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram