PMO nafi PM Anwar beri sokongan, perakuan penubuhan mana-mana parti baharu


  • Primer
  • Isnin, 09 Okt 2023

PMO turut menasihatkan rakyat agar tidak keliru dengan kenyataan tidak rasmi yang dikeluarkan mana-mana pihak. — Gambar hiasan

PEJABAT Perdana Menteri (PMO) memandang serius tindakan mana-mana pihak yang secara sengaja menyalahgunakan nama YAB Perdana Menteri bagi tujuan tertentu tanpa kebenaran dari Pejabat Perdana Menteri.

Ia selepas wujud laporan mengatakan terdapat pihak tertentu menggunakan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tujuan mendapatkan sokongan untuk penubuhan parti politik baharu.

"Pejabat Perdana Menteri ingin menegaskan bahawa YAB Perdana Menteri tidak menyokong atau memperakui mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baru.

"Pejabat Perdana Menteri memandang serius tindakan mana-mana pihak yang secara sengaja menyalahgunakan nama YAB Perdana Menteri bagi tujuan tertentu tanpa kebenaran dari Pejabat Perdana Menteri.

"Tindakan sedemikian adalah amat tidak bertanggungjawab sekali gus memberi dampak negatif kepada kredibiliti YAB Perdana Menteri dan pentadbiran Kerajaan," menurut PMO dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, PMO turut menasihatkan rakyat agar tidak keliru dengan kenyataan tidak rasmi yang dikeluarkan mana-mana pihak.

Pada Ahad, media tempatan melaporkan seorang ahli perniagaan yang juga kenalan rapat Perdana Menteri menyatakan hasrat untuk menubuhkan parti politik baharu berasaskan kaum India di dalam negara.

Individu terbabit memaklumkan dia kini turut sedang melaksanakan usaha bagi memungut suara pemimpin masyarakat dan NGO India berhubung keperluan menubuhkan parti baharu tersebut.

Katanya, segala keputusan yang dibuat pada majlis itu akan disampaikan kepada perdana menteri dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram