Pulau Redang dicemari masalah sampah 'menggunung'


  • Massa
  • Ahad, 08 Okt 2023

Penduduk Kampung Baru Pulau Redang menunjukkan timbunan sampah yang diletakkan berhampiran jeti nelayan ekoran sistem kutipan yang tidak efisien sejak setahun lalu. — Bernama

MASALAH sampah yang serius dan membusuk kerana sistem kutipan yang tidak efisien menghantui penduduk Kampung Baru, Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu sejak setahun lepas.

Penduduk mendakwa masalah sama pernah berlaku beberapa kali sebelum ini, tetapi berjaya diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan selepas aduan kepada pihak berkaitan dikemukakan.

Seorang penduduk, Johasman Husin, 44, berkata, masalah yang berlarutan selama setahun itu memberi tekanan kepada penduduk kampung kerana terpaksa menghidu bau busuk sampah yang "menggunung” setiap hari.

Johasman berkata, masalah timbul apabila kontraktor yang menguruskan kerja-kerja pembersihan hanya mengambil separuh daripada sampah yang ada untuk dilupuskan, manakala separuh lagi gagal diuruskan sehingga menyebabkan longgokan dalam jangka masa panjang.

"Semua sampah yang dibawa ke pusat pengumpulan di Kampung Baru bukan sahaja datang daripada penduduk di sini, tetapi semua resort dan chalet yang ada di Pulau Redang.

"Setiap hari dianggarkan 3,000 tan metrik sampah dibawa ke sini, tetapi hanya separuh yang diambil untuk dilupuskan. Sudah tentulah lama-kelamaan sampah itu akan menimbun dan membusuk," katanya ketika ditemui di Kampung Baru, Pulau Redang petang Sabtu.

KUALA NERUS, 8 Okt -- Timbunan sampah berhampiran jeti nelayan di Kampung Baru Pulau Redang yang berlaku akibat sistem kutipan tidak efisien sejak setahun lalu.Penduduk mendakwa masalah sama pernah berlaku beberapa kali sebelum ini, tetapi berjaya diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan selepas aduan kepada pihak berkaitan dikemukakan.Dakwa mereka masalah timbul apabila kontraktor yang menguruskan kerja-kerja pembersihan hanya mengambil separuh daripada sampah yang ada untuk dilupuskan, manakala separuh lagi gagal diuruskan sehingga menyebabkan longgokan dalam jangka masa panjang.Sampah yang dibawa ke pusat pengumpulan di Kampung Baru bukan sahaja datang daripada penduduk di sini, tetapi semua resort dan chalet yang ada di Pulau Redang.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Timbunan sampah berhampiran jeti nelayan di Kampung Baru Pulau Redang yang berlaku akibat sistem kutipan tidak efisien sejak setahun lalu. —Bernama

Seorang lagi penduduk, Mohamad Jaafar, 68, berkata, masalah terbabit jika dibiarkan berlarutan akan menjejaskan imej Pulau Redang sebagai pusat pelancongan terkenal di negara ini.

Menurutnya, walaupun kedudukan Kampung Baru terpisah daripada kawasan chalet dan resort, ia tetap menerima kunjungan pelancong asing yang ingin menikmati pemandangan perkampungan nelayan dan budaya masyarakat di situ.

"Kampung Baru ialah sebahagian daripada Pulau Redang. Saya pasti pihak kerajaan tidak mahu masalah sebegini menjejaskan reputasi Pulau Redang sebagai lokasi pelancongan yang berprestij.

"Ramai pengusaha kedai makan di sini terjejas kerana bau busuk yang meloyakan membunuh selera pelanggan," katanya.

Sehubungan itu, penduduk kampung merayu supaya pihak kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan penduduk. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram