DUA peserta kejohanan triatlon, Ironman yang berlangsung di Langkawi pada Sabtu masih dirawat di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi, Kedah.
Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Othman Warijo berkata, kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 44 tahun yang dimasukkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri dipercayai ketika melakukan disiplin renang pada kejohanan berkenaan.
"Wanita itu belum sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan berada dalam keadaan kritikal, bagaimanapun dakwaan bahawa dia telah meninggal dunia tidak benar sama sekali.
"Kes kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dimasukkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri dipercayai ketika melakukan disiplin larian. Dia kini berada dalam ICU tetapi keadaannya stabil dan tidak lagi kritikal,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Pada Sabtu, Bernama melaporkan seorang peserta wanita dikejarkan ke HSM kerana disyaki mengalami keletihan semasa melakukan disiplin renang dalam satu kejohanan triatlon yang berlangsung pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, wanita berusia 44 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu telah dibawa ke hospital menaiki ambulans.
Pada hari yang sama, ahli keluarga salah seorang mangsa, Muhaini Mahmud telah memuat naik satu hantaran di Facebook kira-kira pukul 8 malam menyatakan mangsa dalam keadaan kritikal selepas terlibat dalam kejadian tersebut.
Dalam kejadian berasingan, Shariman memaklumkan, seorang penonton lelaki turut mengalami kecederaan ringan kerana terjatuh ketika menyaksikan kejohanan di lokasi sama.— Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram