[VIDEO] Serik terkena, doktor wanita nasihat pengunjung elak bawa keluarga tonton pertunjukan bahaya


  • Tular
  • Rabu, 04 Okt 2023

Detik-detik ketika batang api yang terjatuh terkena mangsa yang sedang menonton pertunjukan di Langkawi pada 2022.

MENJALANKAN tanggungjawab sebagai sebahagian daripada komuniti masyarakat, seorang wanita mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika menonton persembahan berbahaya di mana-mana premis.

Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik oleh @littlemisshappyfeet di Instagram, dia menjadi salah seorang mangsa yang cedera ketika menonton pertunjukan api di Pantai Cenang, Langkawi, Kedah pada 2022.

Menerusi video yang dikongsikan pada 25 September (Isnin), wanita yang juga merupakan seorang doktor perubatan itu juga mengalami luka kecil akibat melecur selepas salah satu batang api terkena bahagian paha kakinya.

Kejadian tersebut juga terjadi kerana pertunjukan yang dilakukan oleh sekumpulan penghibur itu terlalu dekat dengan pengunjung yang berada di kawasan itu.

Menurutnya, hantaran yang dikongsikannya itu adalah bertujuan bagi memberi peringatan atau pengajaran buat para pelancong atau orang awam yang mahu menonton persembahan berbahaya seperti itu.

"Pertama, saya berkongsi ini setelah digesa oleh orang ramai untuk melakukan perkara yang benar serta memberi amaran kepada semua orang.

"Jadi, berdasarkan pengalaman buruk yang menimpa saya, jauhi tempat yang membenarkan 'orang luar' membuat persembahan bahaya kerana mereka tidak akan bertanggungjawab jika perkara ini terjadi.

"Kedua, kalau masih nak tengok, tengok dari jauh. Ketiga, terdapat banyak lagi aktiviti yang lebih selamat untuk dilakukan di Langkawi bersama keluarga dan anak-anak," tulisnya.

Pada masa yang sama dia juga turut meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berharap agar ada tindakan dan peraturan untuk aktiviti seperti itu.

Memantau ke ruangan komen, rata-rata warganet juga memberi reaksi yang sama agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap kejadian itu.

"Aktiviti ini harus diharamkan jika penghibur sebenarnya tidak bertauliah atau profesional untuk membuat persembahan.

"Saya tahu pengalaman itu berguna tetapi pengalaman sahaja tidak mencukupi. Di luar negara, terutamanya negara barat, terdapat undang-undang berkaitan perkara ini. Mereka perlu ada tapisan, sijil dan lesen untuk menjalankan aktiviti ini," balas @hadhinahfelice.

"Saya pergi ke Pantai Cenang pada Jun dan mereka mengadakan pertunjukan api seperti ini terlalu dekat dengan orang ramai. Saya juga bertanya suami saya jika mereka telah memberi lesen kerana mereka semua kelihatan seperti belajar sendiri dan sekumpulan remaja yang sangat tidak beretika dan tidak profesional," komen @janaisk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram