
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tampil memberi amaran keras terhadap pegawainya yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket jenayah tertentu.
Menurut beliau, terdapat pegawai polis didakwa sanggup mengorbankan nyawa rakan sendiri untuk demi mendapat habuan wang ringgit daripada kumpulan penjenayah tersebut.
Beliau mendedahkan perkara tersebut ketika Majlis Amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
"Korang sanggup jual nyawa seorang lagi rakan korang kerana duit imbuhan yang tak seberapa yang kau dapat daripada sindiket.
"Dalam erti kata lain dalam pasukan ini kelak ada yang berbunuh antara satu sama lain sebabkan duit," ujarnya dalam video ucapan tersebut yang turut dikongsikan di Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu.
Majlis itu dihadiri oleh Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen, Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh Malaysia.
Menurut Shuhaily, perkara tersebut boleh berlaku kerana terdapat pegawai atasan yang dipercayai tidak menjalankan tanggungjawab dan pemantauan yang sepatutnya dilakukan.
Malah jelasnya, terdapat juga kes apabila pegawai itu sendiri bersubahat dengan anggotanya untuk menjalankan kegiatannya yang disifatkannya sebagai satu pengkhianatan kepada keselamatan dan ketenteraman negara.
"Tidak ada penyeliaan di bawah untuk menjaga tengok budak-budak ni macam mana cara hidup dia. Satu sarjan boleh pakai Alphard, Vellfire dan Mercedes. Ada kau bertanya?
"Pengisytiharan harta ada buat? Benda tu semua dah ada dah dalam kita punya arahan...(tapi) sebab apa bos dia tak ambil tahu.
"Sebabnya bukan tak ambil tahu, tapi bos pun sama, pergi beli kereta sama-sama (dengan anggota). Ini memang berlaku dalam pasukan," katanya.
Menerusi pendedahan yang disifatkan pihak tertentu sebagai satu sesuatu yang sudah menjadi rahsia terbuka atau 'open secret' dalam kalangan pegawai polis itu, Shuhaily turut memberi amaran berkenaan tindakan bakal diambil terhadap anggotanya yang gagal menjalankan tugas dengan betul.
Antaranya adalah mengenakan pertukaran tugas, di samping turut diberikan notis cadangan agar tidak dinaikkan pangkat.
“Ini sebab mereka tidak layak diberi tanggungjawab menyelia orang lain dengan pangkat lebih tinggi sedangkan dengan pangkat sedia ada pun anda gagal,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram