KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain akan dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu.
Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) pada Jumaat lepas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seperti yang diumumkan sebelum ini, jawatan tersebut kosong selepas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman.
"Perubahan jawatan berkenaan adalah sebahagian daripada pertukaran beberapa jawatan penting yang diputuskan dalam mesyuarat SPP.
"Pengumuman lanjut melibatkan pertukaran beberapa jawatan Ketua Polis Negeri akan dibuat oleh Urusetia Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di Putrajaya, pada Sabtu.
Saifuddin berkata, beberapa lagi pertukaran yang melibatkan jawatan ketua polis negeri akan akan diumumkan.
"Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay diumumkan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu.
"Pengarah JSJN yang baharu juga akan diumumkan oleh Urusetia PDRM," katanya.
Pada 14 Mac, sekretariat PDRM mengumumkan pelantikan Azmi sebagai pengarah Pengurusan Bukit Aman selepas Datuk Seri Zaini Jass bersara pada 9 Mac. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram