Selangor setuju nyah rahsia laporan tragedi tanah runtuh Batang Kali


  • Primer
  • Khamis, 05 Okt 2023

Tragedi pada 16 Disember 2022 itu melibatkan 92 mangsa dengan seramai 31 daripadanya terkorban ekoran insiden runtuhan tanah yang menimbus kawasan perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali.

KERAJAAN Selangor bersetuju untuk nyah rahsia laporan penuh kejadian insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor yang berlaku pada Disember tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persetujuan tersebut, merupakan hasil daripada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu dan dokumen tersebut akan diserahkan semula kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), untuk tindakan selanjutnya.

"Kita akan kembalikan laporan itu kepada Nadma untuk mereka memaparkan di laman web atau diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Shah Alam, Selangor pada Khamis.

"(Berhubung saranan atau tindakan lanjut) itu akan dibuat pihak berkuasa, sebab laporan itu sangat teknikal dan itu dipaparkan di laman web Nadma untuk perhatian semua pihak, dan mereka boleh mengambil tindakan selanjutnya.

SHAH ALAM, 4 Okt -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ketika sidang media berhubung keputusan terkini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.Beliau berkata Selangor tidak berminat untuk meneroka unsur nadir bumi (REE) sebagai sumber pendapatan baharu meskipun kerajaan negeri dimaklumkan bahan mineral itu terdapat di negeri itu.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari. — Bernama

"Namun, yang jelas ialah ia merupakan laporan teknikal menjelaskan bagaimana berlakunya peristiwa itu,” katanya.

Amirudin berkata, nama pemilik tapak perkhemahan juga terdapat pada laporan tersebut, dengan beberapa kawasan terjejas ialah milik perhutanan dan rizab jalan.

Tragedi 16 Disember 2022, pada kira-kira pukul 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram