SEPASANG suami isteri yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali pada Disember lalu menzahirkan ucapan terima kasihnya dalam satu pertemuan bersama beberapa anggota penyelamat Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Meskipun kedua-dua mereka berjaya diselamatkan, anak tunggal mereka telah pun terkorban dalam tragedi itu.
Menerusi laman Facebook APM Selangor pada Selasa, pasangan itu mengadakan satu pertemuan dengan Kapten (PA) Hilmi Husman, Leftenan Muda (PA) Mohammad Amin Rosdi dan Staf Muda (PA) Mohd Firdaus Abd Samad.
Ketiga-tiga mereka yang terdiri daripada APM Daerah Hulu Selangor itu merupakan antara penyelamat terawal yang tiba di lokasi tapak tanah runtuh berkenaan.
“Walaupun pasangan itu kehilangan anak dalam kejadian tersebut, mereka tetap menghargai jasa kesemua anggota penyelamat yang bekerjasama dalam menyelamatkan mangsa.
“Dalam pertemuan tersebut, pasangan terbabit turut meluahkan rasa dukacita atas kehilangan anak tunggal mereka selain berkongsi rakaman video hari lahir anaknya.
“Si suami memberitahu bahawa dia adalah orang pertama yang menghubungi talian kecemasan dan berkongsi detik-detik duka tersebut apabila melihat isteri dan anaknya terperangkap di dalam kereta.
“Ketika itu, dia hanya boleh memerhati dari jarak jauh ketika penyelamat sedang cuba menyelamatkan isteri dan anaknya,” katanya di Facebook.
Dalam kejadian tersebut, isterinya meminta agar anaknya diselamatkan namun pihak penyelamat tidak sampai hati untuk memberitahu bahawa anaknya telah meninggal ketika kejadian.
“Pasangan itu mengucapkan terima kasih kepada semua penyelamat. Walaupun kehilangan anak, mereka masih kuat dalam meneruskan kehidupan seharian.
"Mereka juga mengharapkan agar lebih ramai penyelamat di dunia dapat bantu mangsa yang terlibat dalam sebarang bencana atau kemalangan," ujarnya.
Sementara itu, Kapten (PA) Hilmi menyifatkan pertemuan itu sebagai satu penghormatan yang tidak ternilai sambil menambah bahawa beliau tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan sepanjang berkhidmat sebagai pegawai pertahanan awam.
Untuk rekod, tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Batang Kali itu telah meragut 31 nyawa manakala 61 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram