Penutupan aktiviti perkhemahan, berkelah dan hutan rekreasi masih berkuat kuasa — JPNS


  • Massa
  • Ahad, 01 Jan 2023

JPNS mengeluarkan Notis Arahan Penutupan Operasi di semua kawasan hutan rekreasi di bawah pengurusannya.

JABATAN Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan arahan penutupan semua tempat perkelahan, perkhemahan serta hutan rekreasi di bawah pengurusan jabatan itu masih berkuat kuasa sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Pengarahnya Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, larangan itu susulan arahan penutupan semua tempat perkelahan dan perkhemahan di Selangor, yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor pada 17 Disember lepas susulan cuaca buruk dan musim tengkujuh.

Beliau berkata, mereka yang didapati bersalah melanggar arahan itu boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, JPNS turut mengeluarkan Notis Arahan Penutupan Operasi di semua kawasan hutan rekreasi di bawah pengurusannya.

"Notis ini dikeluarkan sejak Oktober lepas dan masih berkuat kuasa sehingga ke suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

"Notis ini juga selaras dengan Seksyen 47 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (Pindaan 2018) iaitu mengenai larangan mana-mana individu memasuki hutan simpan kekal tanpa permit yang sah," katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor tidak mengeluarkan sebarang arahan penutupan operasi di tapak-tapak perkhemahan di negeri itu susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri tidak perlu membuat keputusan yang panik dan tergesa-gesa, namun pihaknya kini sedang menggariskan beberapa panduan di tapak-tapak perkhemahan di negeri itu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram