Lokasi tanah runtuh Batang Kali tak tersenarai antara cerun kritikal, tegas KP JMG


  • Primer
  • Isnin, 26 Dis 2022

Mayat terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali dijumpai pada 24 Disember lepas, sembilan hari selepas operasi mencari dan menyelamat dimulakan. — Bernama

CERUN di kawasan tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands di Hulu Selangor, Selangor tidak tersenarai dalam cerun-cerun kritikal di bawah pemantauan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Ketua Pengarah JMG, Hisamuddin Termidi berkata, ia bertentangan dengan laporan media sebelum ini, yang menyatakan cerun terbabit berada dalam senarai pemantauan pihaknya.

Beliau berkata, skop pemantauan cerun kritikal JMG tertumpu di kawasan penempatan dan cerun-cerun semula jadi, yang tidak bertindih fungsi dengan pihak autoriti lain.

"JMG menafikan beberapa laporan berita yang mendakwa cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah itu disenaraikan antara lokasi kritikal yang dikenal pasti dan JMG menyenaraikan Batang Kali sebagai lokasi kritikal," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam kenyataan tersebut, Hisamuddin berkata, beberapa media melaporkan bahawa cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah itu disenaraikan antara lokasi kritikal yang dikenal pasti JMG.

Katanya, jurucakap pengusaha Father’s Organic Farm, Frankie Tan memaklumkan, dia tidak pernah menerima apa-apa surat atau sebarang maklumat mengenai senarai terbabit.

Sementara itu, Hisamuddin berkata, bagi penempatan ataupun sebarang cadangan pembangunan baharu di lereng bukit atau berkedudukan berhampiran cerun, ia merupakan sebahagian komponen dalam kebenaran merancang yang memerlukan penilaian risiko dibuat.

“Bagi risiko yang melibatkan bencana geologi tanah runtuh, pihak pemaju perlu melantik ahli geologi profesional yang berdaftar di bawah Lembaga Ahli Geologi Malaysia membuat penilaian,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram