[VIDEO] Bagi alasan nak ambil duit, lelaki smart pakai cincin penuh jari cabut tak bayar tambang e-hailing


  • Tular
  • Rabu, 04 Okt 2023

Tangkap layar video tular terbabit memaparkan tindakan seorang penumpang e-hailing lari daripada membuat pembayaran tambang sebaik tiba di destinasi.

TINDAKAN seorang pemandu e-hailing bersangka baik kepada seorang lelaki yang memberi alasan untuk keluar daripada kenderaan bagi mengambil duit membawa padah selepas penumpang terbabit terus lari tanpa membuat pembayaran.

Insiden itu dirakam menerusi satu video tular yang dimuat naik oleh pengguna akaun Facebook, Gtsiew Siew pada Selasa sebelum dikongsikan di kumpulan GrabCar Driver JOHOR BAHRU.

"Turun dari Grab dan cakap nak ambil duit, lepas tu lari. Pemandu lain sila berhati-hati," tulis hantaran video tersebut pada Selasa.

Menerusi klip berdurasi satu minit satu saat itu, penumpang terbabit yang memakai jaket berwarna ungu didengar bertanyakan kepada pemandu berkenaan jumlah pembayaran yang dikenakan selepas tiba di destinasi ditetapkan.

Kemudiannya, dia didapati meminta kebenaran daripada pemandu terbabit untuk pergi mendapat wang tunai.

"Sekejap ya saya ambil cash (wang tunai) ya. Pergi kedai makan sahaja," ujar penumpang tersebut yang kemudiannya terus meninggalkan kenderaan terbabit.

Tarikh pada video berkenaan memaparkan kejadian itu dipercayai berlaku pada Ahad lalu dengan tempat sebenar insiden tidak dapat disahkan.

Dalam pada itu, di ruangan komen, rata-rata daripada warganet yang dipercayai turut bekerja sebagai pemandu e-hailing turut berkongsikan pengalaman pernah berhadapan dengan situasi sama.

"Aku pun ada terkena juga. Perempuan lagi," tulis Yazid Ay.

"Dah tiga kali kena dengan orang macam ni, mereka tak bayar. Ada satu kali tu bagi alasan tak cukup duit," ujar Eddie Ferrar.

"Pakai smart cincin penuh jari pun tak ada duit. Memalukan," kata Zaidi Zainal.

Pada masa sama, terdapat juga netizen yang memberi nasihat kepada pemandu terbabit agar lebih berhati-hati dan mengambil langkah mencegah sekiranya berhadapan dengan situasi berkenaan.

"Sebab tu kalau jenis bayar tunai, minta duit dulu sebelum gerak. Kalau dia tak nak bagi duit, suruh cari kereta lain dulu," kata Syed Aness.

Dalam pada itu, Majoriti turut sedang cuba mendapatkan komen daripada syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing terbabit berkenaan langkah diambil bagi menangani insiden terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram