[VIDEO] Penguat kuasa kejar, tolak troli penjual roti sosej di San Francisco


  • Benua
  • Rabu, 04 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan keadaan makanan yang bertaburan di jalanan selepas ditolak oleh seorang pekerja awam di San Francisco pada Ahad.

SEORANG penguat kuasa jabatan awam mengejar dan menolak troli milik seorang penjual roti sosej di San Francisco, California, Amerika Syarikat pada Ahad.

Menerusi video yang sempat dirakam oleh orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian, seorang pekerja lelaki yang dipercayai sedang menjalankan operasi penjual makanan tanpa izin bertindak kasar terhadap seorang penjaja di kawasan tersebut.

Video yang tular di Twitter (X) baru-baru ini turut mendapat perhatian ramai warga maya yang mengecam perbuatan lelaki tersebut.

Menurut seorang penduduk East Bay yang hanya mahu dikenali sebagai Yeli sempat merakam kejadian tersebut.

"Pada masa itu, saya terkejut. Saya jelas mengatakan sesuatu kepada lelaki yang telah melakukan perkara itu kepadanya, kerana saya rasa perkara itu tidak sopan untuk dilakukan.

"Dia hanya cuba mencari wang," katanya menurut laporan CBS News.

Yeli berkata, ia berlaku pada waktu petang dan vendor lain juga berada berhampiran dan dia mula merakam selepas mendengar kekecohan serta suara orang menjerit meminta tolong.

"Penjual itu telah datang kepada saya dan ingin melihat video yang saya rakam.

"Saya menunjukkan kepada mereka dan mereka juga memberitahu saya bahawa mereka sangat gembira kerana seseorang akhirnya merakam kejadian itu.

"Hal ini kerana perkara itu kerap berlaku tetapi mereka tiada bukti mengenai kejadian itu," katanya.

Pihak Kerja Raya San Francisco dalam satu kenyataan berkata, mereka sedang menjalankan siasatan tentang kejadian itu.

"Kami meneruskan siasatan ke atas insiden itu dan masih meneliti punca yang menyebabkan kejadian berlaku.

"Kami berusaha untuk menghormati mereka ketika menjalankan operasi penguatkuasaan permit.

"Kami juga memohon maaf atas kejadian yang berlaku itu," katanya.

Setelah siasatan selesai, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan dasar dan prosedur pekerja kami.

Pada 2022, San Francisco telah melancarkan sistem permit sebagai usaha membanteras penjualan haram di tepi jalan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram