Selangor tak minat teroka REE — Amirudin


  • Primer
  • Rabu, 04 Okt 2023

Amirudin menegaskan Selangor tidak berminat untuk meneroka unsur REE sebagai sumber pendapatan baharu. — Bernama

SELANGOR tidak berminat untuk meneroka unsur nadir bumi (REE) sebagai sumber pendapatan baharu meskipun kerajaan negeri dimaklumkan bahan mineral itu terdapat di negeri tersebut, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan kini membenarkan kerajaan negeri membuat penerokaan awal REE, kerajaan Selangor konsisten dengan keputusan sama yang dibuat sejak 2017 dan masih belum berminat untuk tujuan sedemikian.

"Kita belum ada minat dan niat untuk teroka REE tetapi SOP (prosedur operasi standard) tetap kena buat kalau nak teroka, kalau ada cubaan (untuk meneroka REE) kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media di Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, kebenaran untuk kerajaan negeri membuat penerokaan awal REE, berdasarkan SOP sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) yang berlangsung Selasa.

Sementara itu, Amirudin berkata, Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor dan pembentangan Belanjawan 2024 negeri itu dijangka diadakan pada pertengahan November ini, namun bergantung kepada perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram