Kerajaan Perpaduan komited teruskan inisiatif Payung Rahmah, Jualan Agro Madani — PM Anwar


  • Primer
  • Selasa, 03 Okt 2023

Kerajaan Perpaduan di bawah Anwar Ibrahim akan kekal komited meneruskan inisiatif membantu meringankan beban rakyat. — Bernama

KERAJAAN Perpaduan kekal komited untuk meneruskan program-program intervensi melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani meskipun kadar inflasi dalam negara mencatatkan penurunan sebanyak 2.0 peratus iaitu kadar terendah dalam tempoh hampir dua tahun.

Inisiatif itu diteruskan dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang akan memanfaatkan rakyat dalam usaha berterusan Kerajaan Perpaduan menangani isu kos sara hidup rakyat ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan diteruskan dengan kerjasama kerajaan negeri yang akan memanfaatkan rakyat dalam usaha berterusan Kerajaan Perpaduan menangani isu kos sara hidup rakyat.

Ujarnya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2023 pada Selasa, sebanyak tiga kertas pertimbangan dan dua kertas makluman menjurus isu kos sara hidup dibentangkan pada mesyuarat tersebut.

"Mesyuarat telah berbincang berkenaan dengan kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang telah dilaksanakan sejak Februari 2022.

"Adalah penting supaya hala tuju kawalan harga ayam dan telur ini dapat dimuktamadkan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan.

"Kerajaan Perpaduan juga prihatin terhadap kepentingan rakyat ke atas akses bekalan ubat yang lebih kompetitif harganya supaya rakyat mengetahui harga yang perlu dibayar dan mampu untuk membuat pilihan," katanya dalam kenyataan itu.

Tambahnya, keutamaan Kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan mekanisme penjualan ubat lebih telus untuk manfaat rakyat melalui mekanisme paparan harga.

"Kerajaan juga peka terhadap kemungkinan gangguan bekalan gula sekiranya tiada tindakan segera dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan peningkatan harga gula mentah dunia.

Sehubungan itu, kesemua perkara ini akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh masa terdekat bagi mendapatkan hala tuju serta dimuktamadkan.

Anwar dalam pada itu turut menyeru agar semua agensi Kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu bekerjasama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat Malaysia Madani terus diperkukuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram