
SERAMAI 4,286 pelajar baharu terpilih melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi bagi sesi akademik 2023/2024 untuk semua program pengajian bermula Sabtu.
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, UKM menerima sebanyak 49,484 permohonan pada 2023.
“Daripada jumlah itu, hanya 4,286 sahaja yang layak dan dipilih menjadi sebahagian daripada warga UKM.
“Sesi pendaftaran pagi melibatkan pelajar dari negeri Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sementara itu, pelajar dari Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mendaftar pada sesi petang di kolej masing-masing,” katanya semasa sidang media pendaftaran pelajar baharu di Kolej Keris Mas, UKM pada Sabtu.
Mohd Ekhwan Toriman (tengah) bersama barisan ahli jawatankuasa UKM pada sidang media yang berlangsung di Kolej Keris Mas pada Sabtu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,865 pelajar terdiri daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40), empat pelajar orang kurang upaya (OKU) yang merangkumi cacat penglihatan dan cacat fizikal serta empat orang pelajar Orang Asli.
“Kita santuni setiap keadaan pelajar dengan menyediakan kemudahan penginapan dan bantuan kebajikan yang bersesuaian bagi memberi keselesaan kepada mereka.
“Pelajar baharu akan menjalani program suai kenal iaitu Minggu Apresiasi Watan (MAW) bermula hari ini (Sabtu) sehingga 4 Oktober (Rabu) selama lima hari.
“Dengan tema ‘Mara Watan’, MAW akan memberi pendedahan dan pengisian yang padat kepada pelajar baharu seperti, amanat Naib Canselor, sesi bersama alumni, pengenalan kepada aktiviti kampus, dan interaksi dengan fakulti, kolej serta Pusat Tanggungjawab universiti,” katanya.
Tambahnya, seramai 27 orang pelajar baharu UKM daripada keluarga berpendapatan RM1,000 ke bawah menerima bantuan daripada universiti menerusi Program Jejak Anak Watan baru-baru ini.
Mohd Ekhwan berkata, bantuan itu disampaikan secara terus melalui lawatan ke rumah-rumah bakal pelajar meliputi Zon Tengah, Utara, Selatan dan Pantai Timur.
“Sumbangan tersebut merangkumi bantuan kewangan sebanyak RM1,000 secara tunai dan Bakul Rahmah yang berisi barang kelengkapan asrama bernilai RM200 kepada pelajar yang mendaftar pada Sabtu.
“Program ini merupakan inisiatif pihak universiti bagi menyantuni pelajar yang tidak berkemampuan dengan memberikan suntikan kewangan untuk meringankan beban ekonomi terhadap keluarga pelajar.
“Sumbangan ini diharapkan dapat memberi dorongan kepada pelajar agar mereka dapat memulakan pelajaran di universiti dengan bersemangat tanpa perlu risau tentang kekangan kewangan,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak universiti juga menyumbang pelbagai bantuan lain seperti zakat UKM dan bantuan yuran pendaftaran bagi membantu pelajar yang memerlukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram