Selain Rafizi, 2 lagi nama panas disebut-sebut tersisih dalam rombakan Kabinet


  • Massa
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Timbul spekulasi kemungkinan berlaku penyusunan semula Kabinet dalam masa terdekat. — Gambar Hiasan

DESAS-DESUS kemungkinan berlaku rombakan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan masih lagi menjadi tanda tanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan sedang mempertimbangkan untuk membuat rombakan Kabinet di bawah pentadbirannya ketika ini.

Sebelum ini, timbul spekulasi kemungkinan berlaku penyusunan semula Kabinet dalam masa terdekat, dengan beberapa menteri diramal digugurkan.

Isu itu semakin hangat diperkatakan sejak kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Namun Perdana Menteri menjelaskan, rombakan Kabinet bukan perkara mendesak kerana terdapat hanya satu kekosongan jawatan yang perlu diisi.

Ada yang berpendapat, kerusi tersebut bakal diisi oleh pemimpin kanan daripada Parti Amanah Negara (Amanah) bagi memenuhi kuota parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, rombakan itu dipercayai hanya akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai yang akan berlangsung pada 7 Oktober depan.

Anwar juga didakwa akan menggugurkan beberapa menteri atau timbalan menteri yang dirasakan tidak mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang pentadbiran mereka.

Berikut merupakan antara tiga nama menteri yang timbul apabila perbincangan mengenai perkara itu dibangkitkan terutamanya di media sosial :

1) Rafizi Ramli - Tengku Zafrul

PKR vice-president Mohd Rafizi Ramli. - RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Rafizi Ramli

Terkenal dengan jolokan Raja Formula terutamanya dalam kalangan pembangkang, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli antara nama yang dicadangkan patut digugurkan dalam senarai Jemaah Menteri.

Ini kerana Rafizi didakwa masih gagal menawarkan formula luar biasa untuk memantapkan lagi ekonomi rakyat.

Bukan hanya pembangkang, malah beliau turut disindir rakan parti dalam satu kerajaan campuran kerana masih gagal mencari formula ekonomi yang dapat membantu rakyat.

Sehubungan itu, terdapat pandangan bahawa Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah antara sosok yang sesuai untuk mengambil alih tanggungjawab Rafizi.

Beliau yang memegang portfolio sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia ketika ini mempunyai pengalaman melebihi 22 tahun dalam industri kewangan terutamanya bahagian pelaburan dan pengurusan perbankan.

Selain itu, beliau juga lebih dikenali dalam industri perbankan dalam dan luar negara, jadi pengaruhnya dalam bidang itu mampu membantu mengembangkan lagi ekonomi negara.

Meninjau semula karier bekas Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad itu, Tengku Zafrul pernah dilantik sebagai Menteri Kewangan (MOF) pada 2020 sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pastinya ramai yang masih ingat perjuangan beliau dan kementeriannya dalam membantu rakyat mengharungi jerih perih kehidupan akibat penularan Covid-19.

Cabaran yang dihadapi sewaktu zaman Covid-19 ialah aliran tunai, jadi MOF melancarkan pelbagai program bagi membantu pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan semua agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berjaya membuktikan dirinya mampu mengendalikan situasi panik dalam keadaan 'tenang'.

Malah, perjalanan itu diabadikan sendiri oleh beliau menerusi naskhah berjudul ‘Mengharung Badai Ekonomi: Mengemudi Bahtera Menelusuri Gelombang Covid-19' yang dilancarkan pada Mac tahun ini.

2) Dr Zaliha Mustafa - Datuk Seri Dr Dzulkefly

Datuk Seri Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly pernah menjadi Menteri Kesihatan Malaysia dari tahun 2018 hingga 2020. — Bernama

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa juga antara pemimpin yang tidak terlepas daripada radar tumpuan sama ada kritikan mahupun komen pedas daripada pelbagai pihak sepanjang perkhidmatannya.

Wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan itu didakwa tidak mampu mengatasi isu berkaitan kesihatan negara dengan baik.

Ada beberapa idea yang dilaksanakannya sebelum ini menerima kritikan banyak pihak.

Mungkin ada yang masih ingat, belum sampai sebulan pelantikannya, beliau dikecam banyak pihak susulan idea pemberian tuala wanita percuma di pedalaman dan kawasan dengan jumlah miskin bandar yang tertinggi.

Selain itu, beliau turut dikritik susulan pembentangan Kertas Putih yang dibuat olehnya dikatakan tidak digambarkan secara lebih jelas.

Prestasinya dilihat sebagai suam-suam kuku dan tidak memenuhi ekspektasi kementeriannya yang dianggap sangat penting itu.

Melihat situasi itu, timbul cadangan agar Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilantik semula sebagai Menteri Kesihatan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu pernah menjadi Menteri Kesihatan Malaysia dari tahun 2018 hingga 2020, jadi beliau adalah antara individu yang tepat untuk mengemudi dan membangunkan sektor kesihatan di negara ini.

Apatah lagi, beliau sebelum ini bertekad untuk melaksanakan reformasi sektor kesihatan, meskipun tidak tersenarai menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Antara sumbangan yang diingati oleh rakyat terhadap pemimpin tersebut sepanjang perkhidmatannya adalah cadangan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan.

Usahanya memperjuangkan idea yang dianggap 'tidak popular' itu nyata mendapat pujian orang ramai.

3) Datuk Seri Tiong King Sing - Datuk Seri Nancy Shukri

P 217 Bintulu - Datuk Seri Tiong King SingParti GPS— ZULAZHAR SHEBLEE / The Star

Tiong King Sing

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing pernah terpalit kontroversi rasuah melibatkan pelancong luar.

King Sing mengakui video tular mendakwa seorang menteri menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk membebaskan pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen adalah dirinya.

Bagaimanapun, King Sing menafikan tuduhan bahawa kekecohan yang timbul itu bukanlah seperti dilaporkan, sebaliknya beliau hanya ingin melakukan pemantauan pada ketika itu.

Dakwaan itu sedikit sebanyak telah mencalarkan kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin.

Bukan setakat dihimpit kontroversi, malah terdapat pihak yang mendakwa industri pelancongan di bawah kendalian King Sing masih lagi belum melonjak sepenuhnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin menegaskan kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap industri pelancongan selain merangka pendekatan khusus bagi sektor spesifik bagi membantu merancakkan ekonomi negara.

Radzi berkata, tindakan itu wajar dilaksanakan selepas mengambil kira penguncupan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama dan kedua 2023.

Dengan prestasi yang dianggap tidak memberangsangkan itu, ramai berpandangan King Sing tidak sesuai lagi memegang jawatan sebagai Menteri MOTAC, sebaliknya lebih baik digantikan dengan Datuk Seri Nancy Shukri.

Nancy yang bertindak sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika ini pernah menjadi Menteri MOTAC pada tahun 2020 hingga 2022.

Tidak dinafikan beliau menunjukkan prestasi yang baik sepanjang menerajui kementerian itu.

Malah, kewibawaannya turut mendapat pengiktirafan negara luar. Filipina pernah memuji Malaysia sebagai model tadbir urus pelancongan yang berjaya, dan atas usahanya dalam memulihkan sektor pelancongan dalam tempoh pasca pandemik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram