PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya membuka mulut mengenai isu kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet di bawah pentadbirannya ketika ini.
Ketika ditanya pemberita pada Rabu, Ahli Parlimen Tambun itu dilaporkan berkata, beliau kini masih sedang memikirkan mengenai perkara tersebut.
“Saya fikir dahulu,” katanya ringkas ketika ditemui selepas majlis penutup Sidang Kemuncak Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) Huawei Malaysia 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kemungkinan berlaku penyusunan semula Kabinet dalam masa terdekat, dengan beberapa menteri diramal digugurkan.
Dalam pada itu, terdapat juga dakwaan mengatakan rombakan itu hanya akan dilakukan selepas Pilihan Raya Kecil Pelangai yang akan berlangsung pada 7 Oktober depan.
Desas-desus mengenai rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan timbul sejak akhir-akhir ini terutamanya susulan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram