Anak orang asli, remaja B40 tanpa IC teruja bergelar pelajar baharu di UKM


  • Massa
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Muhammad Nizar (tengah) anak orang asli suku kaum Kuala bergambar bersama ahli jawatankuasa UKM.

SERAMAI 1,865 pelajar baharu terdiri daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40), orang asli serta pelajar tanpa kad pengenalan diberi peluang masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Sabtu.

Kategori-kategori pelajar tersebut bukan sahaja diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti, malah diberikan bantuan kebajikan dan kemudahan penginapan yang selesa sepanjang menjalankan pembelajaran di UKM.

Salah seorang daripada empat pelajar orang asli yang mendaftar di UKM, Muhammad Nizar Hasnizam, 20 bersyukur kerana berjaya mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi di universiti tempatan.

Berasal dari suku kaum Kuala, Muhammad Nizar yang berasal dari Rengit, Johor berasakan sejarah UKM sebagai antara universiti terbaik di Malaysia menarik minatnya memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Antropologi dan Sosiologi.

"Salah satu faktor yang menarik saya masuk UKM sebab sejarahnya iaitu antara universiti yang tertua di Malaysia dan universiti ini juga memartabatkan bahasa Melayu," katanya kepada Majoriti.

Muhammad Nizar juga menyatakan bahawa isu-isu negatif yang pernah berlaku di UKM juga tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam mencapai cita-citanya kelak.

Sementara itu, Puteri Nur Arissa Mohd Noor, 20, yang merupakan salah seorang pelajar terdiri dalam golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) dan warganegara tanpa kad pengenalan sah juga membuktikan bahawa status bukan penghalang untuk terus berjaya.

msg1050426791-16910

Puteri Nur Arissa (tengah) antara pelajar yang tergolong dalam kategori khas diterima belajar di UKM pada Sabtu.

Kata Puteri Nur Arissa yang mahu dikenali sebagai Puteri, dia amat bersyukur dengan pihak yang sudi membantunya walaupun terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dalam melanjutkan pelajarannya.

Enggan mengulas lanjut tentang keadaan keluarga yang tidak membuat permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan sah buat dirinya, Puteri memohon agar orang ramai menghormati perkara tersebut dan lebih fokus kepada peluang yang diberikan oleh UKM buat individu senasib dengannya.

"Setiap orang ada cabaran yang tersendiri dan ia perkara normal berlaku dalam hidup tetapi saya sangat bersyukur dengan bantuan dan peluang yang diberikan oleh pihak UKM atau pihak lain tanpa saya sedar.

"Memandangkan saya anak sulung dalam keluarga bersama lima beradik, inisiatif seperti Bantuan Biasiswa Sulung yang diberikan oleh pihak UKM ini sangat membantu saya," katanya.

Tambahnya, dengan peluang yang diberikan ini, dia akan terus berusaha dengan sebaik mungkin bagi mengenang jasa kesemua pihak yang telah memberikan kepercayaan penuh terhadap dirinya itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram