Tiga kesan mungkin timbul jika caj tambahan QR DuitNow mula dilaksanakan 


  • Massa
  • Jumaat, 29 Sep 2023

DuitNow QR kini dilihat digunakan begitu meluas dalam kalangan peniaga untuk memudahkan proses pembayaran bagi perkhidmatan disediakan. — Gambar hiasan

PAYMENTS Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) pada Khamis mengesahkan bahawa vendor yang menerima pembayaran menerusi platform kod QR DuitNow bakal dikenakan caj mulai 1 November depan.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas tersiar laporan mengenai kemungkinan penstrukturan harga dilaksanakan terhadap DuitNow QR yang dilaporkan bakal meliputi kesemua bank di dalam negara.

Perkembangan tersebut pastinya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna di dalam negara yang ketika ini sebahagian besarnya sudah selesa melaksanakan pembayaran secara e-dompet.

Ini kerana pelaksanaan itu dibimbangi bakal memberikan kesan terhadap caj yang bakal dikenakan terhadap mereka ketika membuat sebarang pembayaran atau pembelian.

Untuk rekod, dua penstrukturan caj yang dikenakan itu adalah membabitkan dua jenis e-pembayaran iaitu kadar diskaun pedagang (MDR) dan yuran 50 sen untuk transaksi melebihi RM5,000.

Paynet menjelaskan, bagi pengguna peribadi, yuran 50 sen untuk urus niaga melebihi RM5,000 itu hanya membabitkan pemindahan dana rakan setara (peer-to-peer) daripada QR peribadi ke QR peribadi lain.

Ini membawa maksud bahawa, caj tersebut tidak melibatkan pembayaran kepada peniaga ketika proses pembelian.

Sementara itu, penstrukturan bagi jenis e-pembayaran MDR pula hanya akan melibatkan peniaga.

Berikut Majoriti senaraikan tiga kemungkinan impak yang bakal berlaku ekoran daripad pelaksanaan caj terbabit:

1. Harga barang naik

Antara pihak yang terawal mengenai kebimbangan pelaksanaan caj tersebut adalah kumpulan peniaga khususnya yang terlibat dalam perniagaan bersakala kecil dan sederhana.

Ini kerana sebarang penambahan dalam kos operasi yang berkemungkinan diakibatkan oleh pengenalan caj MDR sememangnya berpotensi meningkatan kesan risiko terhadap pengurusan tunai mereka, lebih-lebih lagi dalam situasi tekanan ekonomi yang dihadapi negara pada waktu ini.

Sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, langkah biasa yang akan diambil oleh peniaga adalah dengan memindahkan pertambahan kos itu dengan cara meningkatkan harga jualan produk mereka.

Hawker Sam Seow, 58, busy chopping chicken at his stall in Permas Jaya, Johor Baru. He started selling three plates of chicken rice at RM10 on Oct 1 as he understood that many people were having financial difficulties. — THOMAS YONG/The Star

Penggunaan DuitNow QR turut melibatkan peniaga kecil. — Gambar hiasan

Ini bagi memastikan kos operasi mereka berada dalam tahap yang terbaik untuk kelangsungan perniagaan mereka.

Bagaimanapun, situasi tersebut secara langsung memberikan kesan terhadap peningkatan harga barangan yang pastinya membebankan pengguna di dalam negara.

Menjelaskan mengenai perkara tersebut, Paynet dalam kenyataan sama menjelaskan bahawa pihaknya berpandangan tindakan mengenakan MDR dijangka tidak menjejaskan harga barangan dan perkhidmatan di dalam negara.

Ini kerana menurutnya, ini kerana pelaksanaan MDR sebelum ini sudah pun dikenakan kepada pembayaran melalui kaedah kad kredit dan debit dengan pengguna masih menikmati harga pembelian yang sama dengan pembelian tunai.

"Oleh itu, kami tidak menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembelian menggunakan DuitNow QR selepas MDR dikenakan,” ujarnya.

Bagaimanapun, potensi pengenaan caj yang dikenakan terhadap peniaga itu masih wujud.

Ini kerana, ketika mengulas mengenai harga pasaran yang dikenakan kepada peniaga untuk MDR, Paynet memaklumkan ia bergantung kepada bank pemeroleh atau pihak ketiga untuk perkhidmatan tersebut.

Katanya, keputusan untuk menangguhkan atau mengenakan MDR serta menyerapnya untuk peniaga kecil juga bergantung kepada kepada bank pemeroleh atau pemeroleh pihak ketiga terbabit.

Pada masa sama, Paynet memaklumkan dana rizab bakal diwujudkan dengan MDR yang dikutip oleh PayNet untuk memberi insentif kepada pemeroleh supaya tidak mengenakan sebarang MDR kepada para peniaga kecil.

Malah tidak mustahil, ada peniaga sendiri akan mengambil kesempatan tentang pengumuman ini untuk menjadikan alasan menaikkan harga produk mereka.

2. Bantutkan usaha galak rakyat guna e-pembayaran

Sementara itu, seperti yang diketahui, kerajaan sejak beberapa tahun lalu mengeluarkan peruntukan yang cukup besar untuk menggalakan penggunaan e-pembayaran.

Sebagai contoh, dalam Belanjawan 2023, kerajaan menyediakan sebanyak RM400 juta ringgit untuk pemberian e-wallet kepada lebih kurang dua juta belia untuk menggalakkan transaksi atas talian.

Finance Minister Lim Guan Eng launching the e-wallet event at Aeon Kinta City urging the public in using the e-wallet payment method..RONNIE CHIN/The Star

PayNet dimiliki oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan konsortium terdiri daripada 11 bank tempatan. — Gambar hiasan

Disebabkan itu, caj terbaharu ini sekiranya benar-benar memberikan impak terhadap kos operasi dalam kalangan peniaga tentunya akan mengurangkan insentif kepada kumpulan berkenaan untuk menyediakan e-pembayaran dalam perkhidmatan masing-masing.

Kesan ini seterusnya pasti akan turut menjejaskan motivasi pengguna untuk menggunakan e-pembayaran dalam pembelian seharian mereka.

Untuk rekod, Bank Negara Malaysia dalam Laporan Tahunan sebelum ini melaporkan transaksi e-pembayaran negara pada tahun meningkat sebanyak 31.5 peratus kepada 9.5 bilion berbanding kenaikan 7.2 peratus pada 2021.

Menerusi laporan sama, bank pusat itu turut menyatakan penerimaan DuitNowQR juga semakin meluas dalam kalangan peniaga, khususnya pengusaha mikro, kecil dan sederhana dengan penglibatan lebih 1.6 juta peniaga pada 2022.

3. Kerugian jika DuitNow QR jadi kurang relevan

Dalam pada itu, pengurangan penggunaan e-pembayaran sekiranya terjadi juga pastinya secara langsung menyebabkan penyusutan kebergantungan terhadap sistem DuitNow QR yang sudah dibangunkan sejak kira-kira empat tahun lalu

Ini tentunya merupakan satu pembaziran dengan mengambil kira peruntukan dan masa digunakan oleh Paynet yang dimiliki oleh BNM bagi membangunkan sistem pembayaran tersebut.

Dalam pada itu, bagi lebih 1.6 juta peniaga yang dilaporkan sudah mengguna pakai sistem tersebut, mereka tentunya mengalami kerugian disebabkan perbelanjaan yang dikeluarkan bagi antaranya mendaftar dan mencetak kod QR untuk digunakan dalam perkhidmatan masing-masing. — Majoriti.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram