Caj perkhidmatan terbaharu DuitNow QR ibarat riba along


  • Massa
  • Rabu, 27 Sep 2023

Perkhidmatan DuitNow merupakan perkhidmatan perbankan yang memudahkan pengguna membuat pembayaran atau transaksi kewangan.

UMUM mengetahui dunia pada ketika ini sedang beralih kepada dunia digital dan kebanyakan tugasan harian juga mula berubah ke arah itu.

Dalam erti kata lain, banyak tugasan yang boleh diselesaikan dengan hanya menggunakan hujung jari bagi memudahkan aktiviti seperti pembayaran secara dalam talian.

Malah kaedah pembayaran tanpa tunai dilihat semakin popular selepas dunia dilanda wabak Covid-19 kerana lebih cepat dan pengguna tidak perlu membawa wang tunai yang banyak.

Selain menggunakan e-dompet, perkhidmatan DuitNow merupakan perkhidmatan perbankan yang memudahkan pengguna membuat pembayaran atau transaksi kewangan.

Namun begitu, apa yang menjadi kegusaran rakyat pada ketika ini ialah, beberapa bank dalam negara memaklumkan perkhidmatan tersebut akan mengenakan caj transaksi pada bulan depan.

Memetik laporan media tempatan, peniaga yang menerima wang daripada aplikasi DuitNow QR akan mula membayar caj transaksi bermula 1 November ini.

Dalam satu e-mel, RHB Reflex memaklumkan penstrukturan harga itu dibuat oleh DuitNow, meliputi semua bank.

Menurut e-mel itu, caj akan ditolak daripada akaun semasa atau simpanan pada setiap 5 hari bulan.

Malah, bahagian khidmat pelanggan RHB Reflex ketika dihubungi turut mengesahkan 'merchant' atau penjual yang menerima wang menerusi DuitNow QR akan dikenakan caj bergantung kepada mod pemindahan wang.

"Sebanyak 0.25 peratus akan dicaj daripada akaun penjual jika pembayaran dibuat daripada akaun semasa atau simpanan, manakala 0.50 peratus dikenakan untuk pemindahan menerusi kad kredit," memetik laporan media tempatan.

Hasil tinjauan Majoriti di media sosial, rata-rata warga maya meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan caj transaksi tersebut.

Seorang pengguna media sosial, Pendeta Aduka berasakan caj perkhidmatan yang dikenakan itu tidak ubah seperti caj perkhidmatan pinjaman wang tanpa lesen (Along).

"DuitNow, caj perkhidmatan ikut peratus kepada nilai ini sudah macam riba Along dah ini.

"Ibarat perkhidmatan bawakan duit pelanggan beli motosikal ke kedai motosikal. Caj ikut harga motosikal. Bukan caj ikut kos perkhidmatan itu.

"Pengakhirannya nanti, caj akan dikenakan (serap) atas harga barang. Semakin tinggi harga barang, semakin tinggi serapan," katanya.

Dia turut mempersoalkan kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan yang tidak memandang serius terhadap isu tersebut.

"Dalam satu e-mel, RHB Reflex memaklumkan penstrukturan harga itu dibuat oleh DuitNow, meliputi semua bank."

"Ini tiada kaitan dengan kerajaan? DuitNow ini adalah bawah Bank Negara Malaysia. Saya bukan apa, yang lain okay saja. Cuma takut Menteri Kewangan sekarang ini ikut Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) diam-diam saja," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram