Jangan semberono ‘transfer’ wang ke tabung dana awam, ini 3 sebab kenapa dermawan perlu pertimbang nasihat BNM


  • Massa
  • Selasa, 04 Jul 2023

BNM meminta orang ramai untuk memastikan kesahihan sebarang kempen pengumpulan dana sebelum membuat pemindahan kewangan.

RAKYAT Malaysia disebut-sebut antara yang tergolong dalam kalangan penduduk paling pemurah di dunia.

Jadi tidak hairanlah negara ini pernah diletakkan di tempat ke-10 dalam keputusan kaji selidik Yayasan Bantuan Amal Dunia (Charity Aid Foundation’s- CAF) pada 2015 atas kerja-kerja amal yang dilakukan.

Dengan peredaran zaman moden ini, teknologi semakin canggih termasuklah sistem perbankan, sehingga konsep menderma juga sudah berubah menjadi lebih mudah dan pantas.

Meskipun hanya bersantai di rumah, orang ramai boleh saja menderma beribu-ribu ringgit menerusi kaedah pemindahan wang secara dalam talian.

Namun malangnya, kemudahan itu juga sebenarnya berisiko membuka peluang yang lebih cerah untuk orang awam ditipu.

Selain itu, situasi berkenaan juga melahirkan lebih ramai kumpulan yang cuba menghasilkan wang dengan cara licik, salah satunya adalah dengan menipu berkenaan pengumpulan dana.

Katanya sumbangan tersebut untuk membantu insan susah di sana sini, namun ternyata disonglap masuk ke poket sendiri.

Sehubungan itu, Bank Negara (BNM) sebelum ini meminta orang ramai untuk memastikan kesahihan sebarang kempen pengumpulan dana sebelum membuat pemindahan kewangan.

BNM turut menasihatkan rakyat di negara ini agar berhati-hati dengan aktiviti pengumpulan dana yang meragukan.

Berikut Majoriti senaraikan tiga sebab mengapa orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan menyelidik latar belakang sesebuah organisasi kebajikan terlebih dahulu sebelum menghulurkan bantuan.

1. Banyak sindiket penipuan kutipan derma dalam media sosial yang dilaporkan sebelum ini

Dengan peredaran zaman kini, konsep menderma juga sudah berubah menjadi lebih mudah dan pantas. — Bernama

Tidak salah berkongsi rezeki tetapi individu di sebalik sesebuah organisasi atau yayasan yang menyediakan platform itu perlu bertanggungjawab untuk memastikan wang sumbangan disalurkan kepada tempat sepatutnya.

Jika diperhatikan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, begitu banyak sindiket penipuan kutipan derma dalam talian yang kantoi dengan pihak berkuasa.

Antara kes yang mendatangkan kemarahan rakyat adalah pada empat tahun lalu apabila dua individu didapati memperdaya rakyat dengan memuat naik beberapa gambar kanak-kanak dan bayi yang menghidap penyakit kronik dan meminta sumbangan orang ramai.

Mereka dikenal pasti sebagai Muhammad Amirul Iskandar Azhar Affandy berusia 22 tahun, dan Maizatul Farahanis Mior Mohd Patah, 20.

Kedua-duanya dilaporkan menggunakan beberapa akaun perbankan untuk meminta sumbangan berkenaan.

Selain itu, polis mendedahkan seorang wanita warga emas menyalahgunakan derma orang awam yang dipercayai dikutip dengan cara menipu melalui media sosial.

Malah kisah wanita itu tular dalam media sosial terutamanya dalam kalangan masyarakat India berikutan penipuan yang dilakukannya melibatkan lebih RM300,000 pada April tahun ini.

2. Ada yayasan kebajikan didakwa buat pendanaan awam atau 'crowdfunding' tanpa mengikut saluran undang-undang yang betul

Perbuatan melakukan pendanaan awam tanpa organisasi yang sah di sisi undang-undang adalah salah. — Bernama

Pendanaan awam bertujuan kebajikan adalah satu mekanisma bantuan kewangan bertujuan membantu pihak yang memerlukan dana.

Pihak yang mengendalikan projek menerima dana daripada orang ramai bagi membiayai sesuatu projek kebajikan.

Namun, orang ramai harus diingatkan perbuatan melakukan pendanaan awam tanpa organisasi yang sah di sisi undang-undang adalah salah.

Baru-baru ini heboh berkenaan satu yayasan kebajikan yang terkenal dengan kejayaannya dalam mengumpul crowdfunding bertindak memulangkan semula dana orang ramai kepada pemberi sumbangan.

Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan BNM sebelum ini agar menyelidik dengan lebih lanjut terlebih dahulu yayasan yang menggunakan dana awam.

Namun tindakan tersebut justeru menimbulkan lebih banyak persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ada yang berpendapat, jika pengasas yang terkenal dengan imej bertanjak itu ingin melaksanakan pendanaan awam, adalah lebih baik sekiranya dia mengemukakan permohonan untuk menubuhkan koperasi supaya pergerakan keluar masuk dana tersebut lebih telus.

“Sebab itu ramai persoalkan, dia (pengasas yayasan) ni tidak ada legal counsel ke sebelum buat keputusan?

“Aku syak dia sengaja buat benda di luar undang-undang dan memang jangka badan kawal selia untuk halang dia supaya boleh raih simpati dan fitnah badan tersebut,” dakwa Zulfikry Basar.

3. Berisiko menjadi sindiket pengubahan wang haram

Pengubahan wang haram adalah proses mencuci wang 'kotor' bertujuan menyembunyikan sumber asal wang berkenaan. Gambar hiasan

Pengubahan wang haram merupakan proses menjadikan wang atau aset diperoleh daripada aktiviti haram kelihatan sah.

Dalam erti kata lain, ia adalah proses mencuci wang 'kotor' bertujuan menyembunyikan sumber asal wang berkenaan.

Dengan lambakan organisasi kebajikan atau yayasan tidak berdaftar mengikut undang-undang yang betul, tidak dapat dinafikan risiko kewujudan sindiket pengubahan wang haram akan terus meningkat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram