[VIDEO] 'Lain macam punya aduan', Rafizi terkejut dengar idea 'luar kotak' tangani isu janda, duda di Parlimen Pandan


  • Tular
  • Khamis, 28 Sep 2023

Tangkap layar video tular memaparkan pertemuan antara Rafizi bersama penduduk di Parlimen Pandan.

DI Malaysia, seoarang ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dan ia meliputi usaha bagi memelihara tahap kebajikan dan rakyat di kawasan masing-masing.

Ini kerana tugasan mereka dilihat tidak terhad hanya sekadar menjadi penggubal undang-undang di Dewan Rakyat.

Lebih jauh daripada itu, ahli Parlimen perlu turun padang bagi melihat keperluan masyarakat setempat seperti masalah seharian dihadapi, penyediaan infrastruktur asas dan pemberian bantuan.

Dalam menjalankan proses tersebut, mereka pada masa sama akan mendapat maklum balas langsung daripada pengundi berkenaan pelbagai isu timbul termasuk melibatkan perkara yang boleh dikatakan agak unik.

Baru-baru ini, tular video mengenai satu perjumpaan antara Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bersama sekumpulan individu dipercayai penduduk di kawasannya.

Ketika pertemuan tersebut, wakil kumpulan berkenaan dilihat melontarkan satu cadangan yang disifatkan agak luar biasa iaitu mewujudkan pusat cari jodoh bagi membantu ibu dan bapa tunggal mencari pasangan.

"Yang ini, YB kena buat sebab di bawah parlimen YB, saya dapati banyak ibu-ibu dan bapa-bapa tunggal," ujar lelaki yang dipercayai wakil kumpulan berkenaan.

Pada masa sama, mereka turut mendakwa bahawa permintaan untuk kewujudan pusat sedemikian turut datang daripada persatuan ibu tunggal.

Mendengar kepada cadangan berkenaan, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut terhadap usul, namun tidak menolak untuk mengambil kira isu berkenaan untuk dinilai.

"Betullah, saya tidak tahu pula banyak janda dan duda (di kawasan Parlimen Pandan)," ujarnya.

Di akhir video tersebut, Rafizi dilihat dengan nada berseloroh turut menyatakan bahawa cadangan untuk mewujudkan pusat cari jodoh itu berkemungkinan akan menjadi keutamaan yang perlu dilaksanakan segera.

Dalam pada itu, di ruangan komen, rata-rata warganet memberikan berpandangan bahawa cadangan tersebut adalah sesuatu yang agak melucukan.

"Inilah permintaan yang paling lawak saya pernah dengar," kata Adek.

"Dia Menteri Ekonomi Malaysia bang, bukan menteri nikah kahwin," ujar Daddy Afqar.

"Lain macam aduan ni," ujar Dilla Fz81.

"Punya sayang dekat YB Rafizi sampai bab jodoh pun depa bagi YB uruskan," tulis DC.

Video berkenaan yang dimuat naik di TikTok sejak Sabtu lalu itu dipercayai berlangsung ketika pertemuan yang diadakan oleh Rafizi bersama penduduk di Parlimen Pandan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram