[VIDEO] Dakwaan pukul wanita video lama, anggota polis terlibat kini cuti sakit sebab lumpuh separuh badan


  • 112
  • Isnin, 25 Sep 2023

Tangkap layar video lama dan gambar seorang lelaki didakwa anggota polis yang memukul seorang wanita.

POLIS Diraja Malaysia Selangor membuka kertas siasatan tatatertib susulan video yang tular di media sosial, mendakwa seorang wanita dipukul anggota polis.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, pihaknya mengesan video itu yang dimuat naik di Instagram pada Ahad yang memaparkan seorang wanita dikatakan dipukul oleh seorang penjawat awam namun lokasi, tarikh dan tempat kejadian tidak diketahui.

"Hasil semakan polis mendapati penjawat awam itu merupakan seorang anggota polis yang bertugas di Kontinjen Selangor dan sedang menjalani cuti sakit disebabkan lumpuh separuh badan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, hasil semakan juga mendapati kejadian di dalam video itu adalah video lama yang ditularkan semula.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor membuka kertas siasatan dan masih menjalankan siasatan memandangkan tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu,” katanya.

Sasikala berkata, pihak polis ingin menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutamanya melibatkan PDRM Selangor serta akan mengikuti peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram