[VIDEO] Lepas Pulau Pinang, aksi penunggang tak berbaju hidu gam pula undang resah penduduk di Kelantan


  • Tular
  • Rabu, 27 Sep 2023

Tangkap layar video tular seorang lelaki menghidu gam di sebuah persimpangan jalan di Kelantan baru-baru ini.

TINDAKAN seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan khayal dipercayai menghidu gam di sebuah persimpangan jalan lampu isyarat baru-baru ini mengundang kegusaran orang awam.

Maklumat awal mendapati kejadian itu berlaku di Kelantan, namun tidak dinyatakan lokasi dan tarikh sebenar.

Manakan tidak, melalui video tular yang dimuat naik di aplikasi WhatsApp pada Rabu itu memaparkan lelaki berkenaan dengan selamba menghidu bahan terlarang tersebut di khalayak ramai.

"Semakin parah rakyat kita ini, berani hisap gam siang-siang hari tanpa segan silu. Khayal sampai ke bulan. This is Kelantan (Ini adalah Kelantan).

"Risau pula tengok takut dia langgar orang atau orang langgar dia," tulisnya.

BACA LAGI : [VIDEO] Penarik beca kantoi hisap bahan terlarang, warga maya risau penumpang boleh sampai ke 'bulan'

Menerusi video yang dikongsikannya itu, lelaki berkenaan berada dalam khayal dan tidak berbaju.

Malah, dia juga dilihat menunggang motosikal dengan keadaan berbahaya ketika meninggalkan persimpangan jalan lampu isyarat tersebut.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa.

Terdahulu, Majoriti juga melaporkan seorang lelaki yang juga penarik beca berada dalam keadaan khayal dipercayai akibat menghidu gam di Pulau Pinang pada 19 September lalu.

Kejadian itu juga turut dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram