[VIDEO] Rakan konvoi Ride Justice for Baby Syifaa titip doa buat biker maut kemalangan di Lebuhraya Karak


  • Tular
  • Ahad, 24 Sep 2023

Tangkap layar video tular seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Karak pada Sabtu.

SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi, maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Karak pada Sabtu.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan oleh orang awam, kejadian itu turut melibatkan kenderaan lain namun tidak dapat dipastikan punca kemalangan terbabit buat masa ini.

Dalam video yang dikongsikan oleh orang awam di aplikasi Telegram memaparkan seorang lelaki memakai jaket merah kelihatan terbaring di tengah-tengah jalan raya.

Beberapa orang awam dipercayai rakan mangsa turut berada di tempat kejadian.

Sementara itu, hasil pemerhatian Majoriti di laman Facebook mendapati mangsa yang maut dikenali sebagai Deqwan.

Menurut sahabat mangsa yang dikenali sebagai Wan Pagar Raja, Allahyarham merupakan seorang individu yang selalu menyokong program konvoi bermotosikal Ride Justice for Baby Syifaa.

"Al-Fatihah Deqwan. Malam tadi (Sabtu), terima berita sahabat biker yang selalu menyokong Ride Justice for Baby Syifaa terlibat dalam kemalangan di Highway Karak.

"Deqwan telah disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor pada pukul 11.30 malam Sabtu. Semoga roh arwah Deqwan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh.

"Terima kasih Deqwan kerana bersama ride untuk Baby Syifaa. Tugas Deqwan di atas dunia telah selesai.Selamat berehat di negeri abadi," tulisnya pada Ahad.

Untuk makluman, Ride Justice for Baby Syifaa merupakan konvoi bermotosikal yang diadakan di seluruh negara bagi mendapatkan keadilan seorang kanak-kanak perempuan, Nour Rania Asyifaa yang didakwa meninggal dunia akibat kecuaian pengasuh pada tahun lalu.

Media sebelum ini melaporkan, Nour Rania Asyifaa ataupun dikenali dengan Baby Syifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, bapa kepada kanak-kanak malang itu, Yuseri Yusoff, mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram