[VIDEO] Mayat wanita terkambus di Pantai Puteri dipercayai rakyat tempatan


  • 112
  • Ahad, 24 Sep 2023

Anggota forensik memeriksa mayat yang ditemukan tertimbus di Pantai Puteri pada Ahad. — Facebook

SIASATAN awal polis mengesahkan tiada unsur jenayah ditemukan susulan penemuan mayat seorang wanita di Pantai Puteri dekat Tanjung Kling, Melaka pada pagi Ahad.

Menurut laporan media tempatan yang memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, mayat mangsa itu dipercayai merupakan rakyat tempatan.

Katanya, hasil pemeriksaan awal terhadap tubuh si mati tidak menemui sebarang kesan kecederaan dan unsur jenayah.

“Setakat ini, kita syak mangsa warga tempatan berdasarkan suntikan BCG (bacille Calmette-Guerin) dan dianggarkan berusia 20-an.

“Kita memohon orang ramai yang mengetahui kejadian untuk tampil atau menghubungi balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Christopher berkata polis sedang mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Pada awal pagi Ahad, pengunjung Pantai Puteri, Tanjung Kling terkejut dengan penemuan mayat seorang wanita berusia 20-an dalam keadaan tertiarap dan terkambus dalam pasir di pantai berkenaan kira-kira jam 8 pagi Ahad

Mayat lengkap berpakaian itu ditemui orang awam sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram