Keunikan geografi Malaysia beri kelebihan buat negara bangunkan perkhidmatan fasiliti pelancar — Pakar


  • Massa
  • Ahad, 24 Sep 2023

MOSTI percaya Malaysia mempunyai potensi besar untuk turut terlibat dalam pembangunan kemudahan pelancaran angkasa lepas. — Gambar hiasan

KERAJAAN pada ketika ini sedang membangunkan garis panduan kajian kebolehlaksanaan pembangunan tapak pelancaran ke angkasa lepas.

Terdahulu media melaporkan, Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) percaya Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk turut terlibat dalam pembangunan kemudahan pelancaran angkasa lepas (space launching facility).

"Jika menjadi realiti, kemudahan yang dibangunkan akan menjadi yang ke-16 di dunia dan akan meletakkan Malaysia menjadi negara kesembilan memiliki fasiliti tersebut," katanya.

Menjelaskan secara lanjut mengenai kepentingan mewujudkan tapak pelancaran berkenaan pada negara, Pakar Aeroangkasa, Renuganth Varatharajoo berkata, sebenarnya ada dua komponen yang utama dalam projek tersebut iaitu tapak pelancaran (segmen bumi) dan pelancar atau roket (segmen angkasa).

"Tapak pelancaran adalah kemudahan untuk akses angkasa lepas bagi setiap negara tanpa bergantung kepada negara yang lain. Ia juga akan menjadi wadah untuk pembangunan ekonomi teknologi tinggi negara.

553

Pakar Aeroangkasa, Renuganth Varatharajoo

"Tapak pelancaran roket umpama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi tapak untuk penerbangan pesawat di mana ia juga telah membangun ekonomi penerbangan negara dan ekonomi sekitarnya yakni menjadi satu ekosistem ekonomi tersendiri," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, keunikan geografi Malaysia yang terletak berhampiran garisan khatulistiwa memberikan kelebihan kepada negara untuk membangunkan perkhidmatan fasiliti pelancar kerana ia merupakan lokasi strategik untuk pelancaran roket bagi membawa khususnya satelit telekomunikasi mahal seperti Measat.

"Hampir kesemua satelit telekomunikasi dunia harus berada di orbit khatulistiwa untuk memastikan komunikasi setiap masa.

"Satu lagi ciri yang menarik pelancaran ke arah timur dari kawasan khatulistiwa seperti di Malaysia adalah dapatan percuma halaju maksimum putaran bumi sebanyak 465 milisaat," katanya.

Jelasnya lagi, pembangunan tapak pelancaran ke angkasa lepas akan mewujudkan peluang pekerjaan.

"Pelancaran satelit akan memerlukan tenaga kerja kejuruteraan bagi proses integrasi, pengujian satelit dengan pelancar dan roket.

"Sehubungan itu, ia dapat menawarkan peluang kerja profesional dalam bidang berkenaan," katanya.

Profesor di Universiti Putra Malaysia itu juga berharap agar Malaysia boleh bermula dengan pembangunan segmen bumi iaitu tapak pelancaran.

"Yang lebih penting adalah untuk mendapatkan kerjasama segmen angkasa iaitu pembekal roket yang mempunyai tahap kebolehpercayaan teknologi yang tinggi supaya kejayaan 100 peratus boleh dicapai dalam proses pelancaran satelit dengan kos pelancaran yang berpatutan.

"Ke arah 'Now Everyone Can Launch!'," katanya.

Untuk rekod, pada ketika ini, MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), yang membangunkan garis panduan kajian kebolehlaksanaan itu, sedang mengadakan sesi libat urus dengan beberapa pihak dan industri yang berminat untuk membangunkan kemudahan itu.

Penglibatan kerajaan dalam industri tersebut dianggarkan akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi angkasa dengan nilai RM10 bilion menjelang 2030, di samping pertumbuhan 500 syarikat pemula teknologi berkaitan angkasa, seterusnya mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram