India mendahului perlumbaan angkasa, kuasa besar mula tersentak


  • Massa
  • Rabu, 30 Ogos 2023

India mencatat sejarah melalui program eksplorasi bulan mereka (Chandrayaan-3) apabila menjadi negara keempat yang berjaya membuat pendaratan di permukaan bulan.

PADA 23 Ogos 2023, India telah mencatat sejarah melalui program eksplorasi bulan mereka (Chandrayaan-3) apabila menjadi negara keempat selepas Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Soviet (kini Rusia) dan China yang berjaya membuat pendaratan di permukaan bulan.

Namun, apa yang membuatkan pendaratan ini istimewa daripada yang pernah dibuat oleh manusia sebelum ini ialah India mendarat di kawasan yang tidak pernah diterokai manusia iaitu Kutub Selatan Bulan.

Selain melihat perkembangan ini melalui perspektif aeroangkasa dan sains fizikal, fenomena ini boleh juga dicerap menerusi persepktif astropolitik.

Sub-bidang ini merupakan bidang yang terpencil dalam IR (International Relations) mahupun SSS (Strategic and Security Studies) tetapi menjadi semakin signifikan dek kerana perkembangan semasa.

Astropolitik merupakan kajian tentang hubungan antara domain angkasa dengan perkembangan dasar dan strategi politik serta ketenteraan.

Penulisan ini akan cuba merungkai fenomena ini melalui kaca mata astropolitik secara ringkas.

Kutub Selatan Bulan (KSB)

Pemilihan kawasan eksplorasi bulan kontemporari berkait rapat dengan perkembangan ilmu pengetahuan manusia terhadap entiti cakerawala paling hampir dengan bumi (bulan).

Disebabkan bulan dan bumi bergerak di atas paksi sendiri untuk mengelilingi matahari, maka perkara ini telah menyebabkan beberapa kawasan dipermukaan bulan tidak menghadap matahari.

Jesteru, fenomena ini telah mengakibatkan elemen-elemen asli seperti molekul air (H2O) boleh terkumpul di bahagian ini yang telah pun disahkan oleh pengorbit India (Chandrayan-1) sejak 2008 lagi.

WhatsApp Image 2023-08-30 at 08.25.05

Fenomena ini telah mengakibatkan elemen-elemen asli seperti molekul air (H2O) boleh terkumpul di bahagian ini yang telah pun disahkan oleh pengorbit India (Chandrayan-1) sejak 2008 lagi.

Kuasa Besar sangat gemar dengan penemuan ini kerana ia menjadi kunci utama bagi menjayakan program angkasa lepas mereka yang lain seperti Artemis (AS) dan Chang’e (China).

Berjayanya manusia di bulan bermakna satu lagi lembaran baharu dalam eksplorasi angkasa akan bermula. Projek seperti Lunar Gateway, Moonbase akan menjadi lebih realistik untuk memungkinkan manusia membuat aktiviti seperti perlombongan angkasa dan sebagainya.

Perspektif Astropolitik

Faktor-faktor di atas hanya menjelaskan mengapa kuasa besar berlumba-lumba untuk ke angkasa melalui persepktif sains dan ekonomi. Justeru, di mana faktor politiknya?

Menurut teori strategik kontemporari seperti Everett Dolman dan Bleddyn Bowen, mereka menganggap bahawa orbit bumi merupakan garisan kosmik seakan persisir pantai (coastline) yang sangat signifikan dalam strategi peperangan (ultimate high ground).

Apa yang berlaku di orbit akan memberi kesan kepada strategi ketenteraan dan tingkah laku ekonomi di bumi.

Sebagai contoh, banyak aset Rusia berjaya diletupkan oleh tentera Ukraine dalam perang Russia-Ukraine kerana mempunyai aset angkasa dan menjadi salah satu faktor mengapa tentera Ukraine sangat sukar ditumpaskan.

Pelancaran roket membawa kapal angkasa India, Chandrayaan-3, dari Pusat Angkasa Satish Dhawan di Sriharikota, sebuah pulau di luar pesisir pantai selatan Andhra Pradesh, India, menuju ke bulan. — Agensi

Dalam strategi peperangan moden, tidak hanya dengan memiliki senjata paling canggih atau paling banyak yang boleh menentukan keunggulan anda dalam medan peperangan.

Menguasai domain angkasa telah menjadi keperluan dalam membentuk strategi ketenteraan yang baik.

Disebabkan itu, setiap program angkasa tidak akan lari daripada tujuan awam dan ketenteraan.

Dualisme ini telah pun berlaku semenjak manusia mula menjalankan aktiviti angkasa semasa era perlumbaan angkasa AS-Soviet dan ia masih kekal bergerak secara beriringan.

Perlumbaan Angkasa Baru

Tanpa sedar kita telah memasuki sebuah era yang dikenali sebagai Perlumbaan Angkasa Baru (New Space Race) yang mempunyai sifat yang sedikit berbeza jika mahu dibandingkan dengan perlumbaan angkasa era AS-Soviet.

Antara indikator untuk melihat perlumbaan ini sedang berlaku ialah usaha negara yang turut dibantu oleh faktor bukan negara dalam misi mereka untuk ke bulan.

Berikut disenaraikan antara kejayaan dan kegagalan projek angkasa dalam tempoh lima tahun lepas.

Gagal

Russia-Luna 25 (2023)

Jepun-Hakuto-R Mission 2 (2022)

UAE-Lunar Mission (2022)

Israel-Beresheet (2019)

Berjaya

India-Chanrayaan 3 (2023)

Chang’e 4 (2019)

Akan Datang

US-Artemis 3 (2025)

Walau bagaimanapun, tidak ada negara yang berjaya melakukkan pendaratan lembut di KSB sepertimana India.

Luna-25 yang merupakan milik Rusia sepatutnya mendarat dua hari sebelum Chandrayaan-3 juga gagal untuk berbuat demikian.

Perkembangan ini menunjukkan India kini sedang berada di hadapan pesaingnya kerana mempunyai kelebihan untuk meneroka dan eksploitasi bahagian bulan yang belum pernah diterokai umat manusia.

Namun, perlumbaan angkasa baharu ini tidak terhenti di situ sahaja. Bulan memang akan dijadikan sebagai muka depan dalam setiap program angkasa bagi kuasa besar tetapi di sebalik program ketenteraan yang membangunkan teknologi angkasa untuk strategi ketenteraan juga tetap berjalan.

Tanpa ragu saya boleh katakan perkembangan ini pastinya akan terus mewarnai dan mempengaruhi geopolitik dunia. — Majoriti

Muhammad Aiman Roszaimi merupakan Pelajar Sarjana Analisis Strategi dan Keselamatan, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram