NIMP 2030 miliki rancangan khusus majukan PKS negara — Anwar


  • Primer
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Anwar berkata, kerajaan mempunyai perancangan khusus untuk memastikan pertumbuhan terhadap sektor perusahaan kecil dan sederhana PKS. — Gambar hiasan

PELAN Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 akan mempunyai perancangan khusus untuk memastikan pertumbuhan terhadap sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta peningkatan taraf hidup rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, rangka kerja Ekonomi Madani kerajaan dan NIMP 2030 kedua-duanya selari dalam fokusnya untuk memperbaiki kehidupan melalui unjuran pulangan lebih tinggi kepada rakyat daripada pulangan ekonomi negara.

"Ini termasuk pekerjaan dengan gaji yang bermakna dan perkongsian kekayaan untuk membina masyarakat lebih saksama dan sejahtera," katanya ketika melancarkan NIMP 2030 di Menara MITI, Kuala Lumpur pada Jumaat.

NIMP 2030 merupakan pelan perancangan yang digariskan kerajaan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian berteknologi tinggi.

Anwar berkata, ia melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion yang dibiayai terutamanya daripada sektor swasta melibatkan ekuiti swasta, modal dan pasaran kewangan.

"Hampir 10 peratus akan diperuntukkan kerajaan untuk memangkin dan membantu memberi insentif kepada pelaburan ini melalui Dana Pembangunan Perindustrian NIMP dan dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP," tambahnya.

Anwar berkata, adalah penting untuk mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi bagi mengangkat dan memperkembangkan lagi golongan kelas pertengahan di dalam negara.

Tambahnya, ini kerana trend global seperti peningkatan peranan teknologi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi serta globalisasi nilai rantaian telah mengubah bentuk pekerjaan yang wujud pada ketika ini.

"Transformasi kemahiran adalah kunci untuk membangunkan kecekapan masa depan dan ini telah ditetapkan sebagai fokus strategi industri kerajaan," kata Anwar.

KUALA LUMPUR, 1 Sept -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) di sini, hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARAKUALA LUMPUR, Sept 1 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim delivering his speech at the launch of New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030), here today.--fotoBERNAMA (2023) COPYRIGHT RESERVED

Anwar ketika berucap pada pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) di Kuala Lumpur pada Jumaat. — Bernama

Anwar berkata NIMP 2030 menyasarkan untuk meningkatkan nilai sektor pembuatan kepada RM587.5 bilion menjelang 2030, iaitu pertumbuhan 6.5 peratus daripada angka sekarang.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 61 peratus yang diperolehi hasil langkah intervensi daripada NIMP 2030 untuk sektor berimpak tinggi seperti eletrik dan eletronik (E&E), bahan kimia, kenderaan eletrik (EV), aeroangkasa, farmaseutikal dan bahan sumber alam mendapat permintaan tinggi seperti mineral dan logam," kata Anwar.

NIMP 2030 akan menyaksikan pertumbuhan unjuran penciptaan pekerjaan sebanyak 2.3 peratus mulai tahun ini membabitkan kira-kira 3.3 juta orang pekerja yang mendapat manfaat menjelang 2030.

"Trajektori pekerjaan yang semakin berkembang dalam industri ini adalah mengambil kira penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi ketika negara maju kini semakin ke arah aktiviti ekonomi dengan nilai tambah lebih tinggi dan penambahbaikan dalam automasi serta kemajuan teknologi.

“Paling penting, gaji median bagi sektor perkilangan dijangka meningkat sebanyak 9.6 peratus untuk mencecah RM4,510 daripada RM1,976, iaitu satu angka yang berada di bawah purata nasional walaupun sektor itu memainkan peranan dominan dalam KDNK negara.

“Peningkatan sebanyak 128 peratus daripada 2023 ini didorong oleh peralihan industri ke arah aktiviti nilai tambah lebih tinggi dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan,” kata Anwar.

Anwar berkata, kerajaan akan memastikan NIMP 2030 dijalankan dengan gigih dan memberi manfaat bukan sahaja kepada sektor swasta melalui pelaburan dan prospek perdagangan yang lebih baik, tetapi juga kepada rakyat melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi.

“Saya perlu menegaskan bahawa visi NIMP 2030 hanya boleh direalisasikan dengan jayanya jika kita bekerjasama dalam perpaduan, ke arah mencapai misi.

“Hanya dengan komitmen untuk perpaduan barulah kita dapat memenuhi harapan kita untuk negara,” tambahnya. — The Star/TARRENCE TAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram