Selangor sedia jadi pelopor penyediaan tenaga kerja industri penerbangan


  • Primer
  • Khamis, 07 Sep 2023

Amirudin Shari menekankan keperluan lebih banyak pelatih dalam indusri penerbangan.

KERAJAAN Negeri Selangor bersedia menjadi pelopor dalam penyediaan tenaga kerja untuk industri penerbangan di negara ini, kata Amirudin Shari.

Menteri Besar Selangor itu berkata, menerusi program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS), Selangor telah berjaya melahirkan tenaga kerja yang baik, selain mendapat pendapatan tinggi.

Amirudin berkata, syarikat Boeing menganggarkan industri penerbangan akan memerlukan 790,000 juruterbang dan 754,000 juruteknik dalam tempoh 20 tahun akan datang.

"Mungkin IKTISASS boleh membantu kepada industri penerbangan ini, saya lihat kosnya juga sangat tinggi kira-kira RM300,000 (pengajian) bagi beberapa tahun untuk dapatkan sijil dan atau jam penerbangan supaya memperoleh kebenaran untuk memandu pesawat sebagai juruterbang.

"Insya-ALLAH kita sedia, kita memang ada bajet iaitu RM15 juta setahun (melalui IKTISASS) sebahagian besar untuk beberapa syarikat lain. Kalau ada permintaan, kita boleh memenuhi, daripada RM300,000 mungkin kita boleh kurangkan beban RM30,000 ke RM50,000," katanya.

WhatsApp Image 2023-09-07 at 7.08.29 PM

Turut hadir Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa dan Perpaduan, Datuk Rizam Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Datuk Hasan Azhari Idris.

Selain itu, Amirudin berkata Selangor akan meneruskan penerokaan dalam industri penerbangan melalui penganjuran SAS pada skala lebih besar di Sepang pada 2025.

"Saya berbangga ini satu daripada usaha kita untuk galakkan industri ini, dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) saya nukilkan kira-kira 67 peratus industri aeroangkasa Malaysia berada di Selangor dan diharapkan kita dapat galakkan lagi dengan pembukaan Selangor Aero Park di Sepang.

"Dua tahun lagi kita akan buat dengan lebih besar dan mungkin kita akan berpindah dari Subang ke Sepang, sasaran kita pada 2025 dengan penyertaan lebih ramai dan aktiviti lebih padat, namun tidak meninggalkan nic kita iaitu penerbangan am and penerbangan perniagaan, pesawat ringan dan helikopter," katanya.

Dalam majlis sama, Ahli Parlimen Gombak itu turut menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) berkait pembangunan Taman Aero Selangor (SAP) antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan enam penggiat industri aeroangkasa iaitu SIMAero, Sir Ventures, Dviation Group, Bibus Metals, Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) dan Subang MRO.

Pada pameran yang berlangsung bermula pada Khamis hingga Sabtu, menempatkan hampir 50 pesawat statik selain 119 pempamer dari enam negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Perancis, Denmark, Singapura dan Hong Kong yang mengambil bahagian pada tahun 2023.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram