LIMA bilik darjah musnah dalam kebakaran di Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Kandu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Jumaat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.02 petang.
"Ketika jentera pertama tiba di lokasi, api sedang marak di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.
“Anggota bomba dari lima Balai Bomba dan Penyelamat serta Bomba Sukarela berjaya mengawal kebakaran pada pukul 6.31 petang.
“Tiga buah bilik darjah musnah 100 peratus, manakala dua bilik darjah terbakar 40 peratus. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Difahamkan ia merupakan sekolah dua sesi, namun murid-murid dan guru telah pulang ketika kejadian.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang berada di Pulau Pinang atas urusan rasmi difahamkan akan melawat sekolah terbabit pada malam Ahad.
Terdahulu, tular satu video memaparkan beberapa bahagian sekolah tersebut terbakar di media sosial.
Difahamkan, video tersebut dirakam oleh orang awam yang berada lokasi kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram