[VIDEO] Peniaga ditembak mati di Machang ada rekod jenayah, polis siasat motif sebenar 2 suspek misteri


  • 112
  • Isnin, 18 Sep 2023

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda berhenti di hadapan sebuah bengkel dekat Jalan Hutan Kuin, Machang, Kelantan pada Ahad. — Facebook

LELAKI yang maut dalam kejadian tembakan di hadapan sebuah bengkel kenderaan dekat Jalan Hutan Kuin, Machang, Kelantan pada petang Ahad mempunyai rekod jenayah dan kesalahan dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam kes tersebut merupakan dua lelaki tidak dikenali yang menaiki kereta jenis Honda berwarna putih.

“Suspek melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah tingkap pemandu trak pikap terbabit.

“Tembakan itu menyebabkan mangsa yang berada di kerusi pemandu trak pikap itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Muhamad Zaki, nombor pendaftaran kenderaan dinaiki kedua-dua suspek semasa kejadian masih tidak dapat dikenal pasti.

Dalam pada itu, beliau berkata, mangsa yang maut dalam insiden tersebut berusia 38 tahun dan bekerja sebagai seorang peniaga.

"Motif sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," tambah beliau.

Pada masa sama, Muhamad Zaki turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut untuk tampil membantu pihak polis dengan menghubungi balai polis berdekatan.

Majoriti pada Ahad melaporkan mengenai video tular memaparkan mayat seorang lelaki berlumuran darah di bahagian pemandu kenderaan pacuan empat roda.

Video berdurasi 10 saat melibatkan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang itu difahamkan dirakam orang awam yang berada di lokasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram