POLIS menahan dua individu dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun yang mayatnya ditemui di dalam sebuah lori dekat kawasan parkir di, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada kakak mangsa, 56, berhubung insiden tersebut sekitar pukul 1.48 pagi.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.
"Hasil pemeriksaan pada badan si mati mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian telinga, bengkak di kepala dan pipi, luka di bahagian mata, lebam di bahu dan tulang dada serta terdapat kesan darah di dalam mulut," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, penahanan dua suspek yang juga warga tempatan masing berusia 36 dan 37 tahun itu dilakukan di lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima maklumat berkenaan insiden tersebut.
Ujarnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.
"Punca kejadian masih dalam siasatan dan permohonan reman ke atas kedua suspek akan dipohon. Pihak polis memberi amaran keras agar orang ramai supaya tidak terlibat membuat spekulasi dan menimbulkan provokasi berkait kejadian ini," kata beliau.
Ashari berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dan menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram