POLIS Kuala Langat menafikan dakwaan seorang wanita berhubung isu mendapat layanan yang tidak sepatutnya ketika berada di bawah tahanan reman baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, wanita tersebut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan seorang wanita warga Kemboja.
Katanya, operasi penahanan suspek dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dan kes masih lagi dalam siasatan.
Menurutnya, pada 3 September lalu, pihak polis menerima aduan daripada seorang wanita warga tempatan yang mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melaporkan berlakunya pemerdagangan melibatkan seorang perempuan warga Kemboja oleh majikannya tanpa sebarang kebebasan sebagi pekerja.
"Pihak NGO terbabit telah pergi ke tempat kerja mangsa yang berumur 28 tahun di kawasan Taman Mas Langat, Puchong Selangor namun mangsa telah dibawa ke rumah ibu majikannya di Bahau, Negeri Sembilan.
Liew Jin Yih atau dikenali sebagai Nichole, 25, (kiri) mendakwa sepanjang empat hari tempoh reman berlalu, tiada seorang pun anggota yang mengambil keterangan daripadanya sebagai prosedur soal siasat.
"Sehubungan itu, bertindak atas maklumat yang diberikan pengadu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Jempol, Negeri Sembilan telah menangkap suspek dan menyelamatkan mangsa pada hari yang sama pada pukul 11.30 malam.
"Hasil semakan terhadap suspek yang ditangkap adalah perempuan warga tempatan berumur 25 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, suspek direman selama empat hari di lokap Balai Polis Banting, IPD Kuala Langat, Selangor dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan selesai.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.
Beliau turut menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang wanita Liew Jin Yih atau dikenali sebagai Nichole, 25, yang masih dalam tempoh berpantang mengalami trauma apabila terpaksa meringkuk di dalam lokap selama empat hari atas dakwaan jenayah pihak lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram