MISTERI kehilangan bungkusan barangan (parcel) di sebuah taman perumahan di Teluk Pulai, Klang, Selangor terungkai selepas sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam kegiatan seorang lelaki dan rakan subahatnya mencuri bungkusan itu.
Video rakaman itu turut tular melalui laman Twitter (X), @nanmanjoi8715 pada Jumaat.
"Didakwa mencuri barang-barang pembelian dalam talian. Kejadian di Teluk Pulai, Klang," ciapnya.
Melalui data yang tertera dalam rakaman berdurasi 29 saat itu, difahamkan kejadian itu berlaku pada Khamis.
Dalam video tersebut, kelihatan pemandu yang memandu sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil dilihat sedang memandu secara perlahan di kawasan perumahan tersebut.
Sementara itu, seorang lagi rakannya yang duduk di bahagian penumpang dilihat meninjau keadaan sekeliling.
Selepas menjumpai rumah yang terdapat bungkusan parcel diletakkan di luar, pemandu tersebut dilihat memberhentikan kenderaan sebelum rakannya keluar dan mengambil barangan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa membuat laporan polis selepas barang keperluan rumah yang dibeli secara dalam talian dan dihantar oleh penjual dengan diletakkan di atas tembok pagar kediamannya hilang.
Wanita tempatan berumur 59 tahun berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian pada Khamis lalu itu pada 9.08 pagi, Jumaat.
"Siasatan mendapati barangan berkenaan dihantar ke rumah pengadu antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, diletakkan di atas tembok pagar rumah pengadu. Sebaik mengetahui barang itu tiada, mangsa membuat semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Kira-kira pukul 5.26 petang, rakaman CCTV menunjukkan kereta jenis Perodua Kancil berwarna biru gelap berhenti di depan rumah pengadu. Penumpang kereta keluar lalu mengambil barangan berkenaan dan melarikan diri," katanya.
Beliau berkata, siasatan kes dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
"Polis sedang berusaha mengenal pasti suspek yang terbabit selain bantuan daripada rakaman CCTV di rumah mangsa dan menjangka dapat membuat tangkapan dalam tempoh terdekat," katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram