[VIDEO] Bukannya runtuh, Exco Agama Johor perjelas kejadian siling jatuh di Masjid Taman Pulai Indah


  • Primer
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Tangkap layar video tular yang memaparkan kepingan siling yang didakwa runtuh di masjid Taman Pulai Indah, Johor Bahru.

TIADA kejadian siling runtuh di masjid Taman Pulai Indah, Johor Bahru, Johor pada Khamis lepas seperti didakwa dalam video tular di media sosial sejak Jumaat, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Beliau sebaliknya menjelaskan bahawa beberapa kepingan panel siling itu jatuh ketika kerja-kerja menurunkan keseluruhan panel dijalankan.

"Sebenarnya video yang tular itu tidak begitu tepat, ia (siling) bukan runtuh tetapi hanya beberapa panel siling jatuh ketika kerja-kerja penurunan keseluruhan siling sedang dilakukan pekerja kontrak.

"Oleh itu, saya berharap agar video itu tidak ditularkan dan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya kepada pemberita selepas melawat masjid berkenaan pada Sabtu.

Beliau berkata, pihak pengurusan masjid telah mengambil langkah segera dengan melantik kontraktor luar selepas mendapati keadaan siling yang kurang baik sejak sebulan lalu.

Mohd Fared berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) juga diarahkan untuk melakukan pemeriksaan terperinci bagi memastikan aspek keselamatan di masjid berkenaan pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Taman Pulai Indah, Alpian Jamid berkata, kerja-kerja menurunkan keseluruhan siling masjid berkenaan giat dijalankan sejak beberapa hari lalu.

"Kerja-kerja menurunkan panel siling masjid dilakukan selepas solat Isya hingga subuh apabila beberapa panel siling berkenaan terjatuh. Saya juga meminta maaf apabila video yang diambil untuk simpanan telah tular sehingga menimbulkan tanda tanya ramai pihak,” katanya.

Beliau menambah buat masa ini, sebuah khemah didirikan di perkarangan luar masjid bagi membolehkan jemaah menunaikan solat fardu dan solat Jumaat.

Masjid berkenaan yang mula dibina pada 2015 dan siap dua tahun kemudian, mampu menampung kira-kira 3,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi kira-kira dua minit mendakwa bumbung masjid itu runtuh selepas jemaah perempuan beredar sebaik selesai menunaikan solat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram