BEKALAN gula pasir bersubsidi iaitu gula kasar sekilogram dan gula halus sekilogram sukar diperoleh di sekitar Johor Bahru, Johor khususnya di kedai-kedai runcit, sejak beberapa hari lepas.
Tinjauan Bernama di beberapa kawasan antaranya Taman Suria, Taman Sentosa, Kempas dan Bandar Dato' Onn di sini mendapati beberapa pasar raya pula menjual barang keperluan asas itu dengan mengehadkan seorang pembeli hanya boleh membeli dua peket gula sekilogram sahaja.
Bagaimanapun, pasar raya dan kedai runcit tersebut masih mematuhi harga kawalan runcit yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram bagi gula kasar dan RM2.95 sekilogram bagi gula halus.
Pekerja swasta Radiah Saori, 43, berkata bekalan gula kasar sekilogram dan gula halus sekilogram semakin sukar didapati sejak beberapa hari lepas, berbanding gula premium yang dijual pada harga RM4.70 sekilogram.
"Saya terpaksa berkunjung ke beberapa lokasi berlainan untuk mendapatkan bekalan gula, itupun ada syarat dua peket sahaja. Jika ada pun, ia hanya melibatkan gula putih bertapis jernih atau gula premium yang dijual pada harga lebih tinggi.
"Saya menetap bersama keluarga mentua, jadi barang keperluan asas termasuk gula memang saya beli. Apabila harga barangan asas ini meningkat, ia sedikit sebanyak turut meningkatkan kos sara hidup kami sekeluarga," kata ibu kepada tiga orang anak itu.
Radiah berharap pihak berkuasa dapat memantau bekalan gula di pasaran dan memastikan kecukupan bekalan untuk pengguna kerana gula pasir sememangnya menjadi barang keperluan asas rakyat di negara ini.
Peniaga air di Tampoi, Muhamad Zulfikar Kamarudin, 28, berkata ketiadaan bekalan gula sedikit sebanyak mengganggu perniagaannya memandangkan gula antara bahan utama dalam minuman.
"Sejak Isnin, apabila saya ke beberapa kedai runcit untuk menambah stok gula berniaga air, jurujual memaklumkan gula sudah habis dan mereka minta saya datang ke kedai esok atau lusa. Harap esok (Rabu) adalah gula di kedai, jika tidak terpaksalah beli gula 'mahal' (premium)," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan gula pasir bersubsidi di negeri ini.
"Setakat ini, kita tidak terima aduan ketiadaan bekalan gula. Di Johor tiada isu, sebaliknya dalam makluman kita bekalan gula sentiasa ada, namun, jika pengguna mendapati ada gangguan bekalan di kawasan mereka, boleh salurkan aduan kepada KPDN Johor untuk tindakan susulan diambil," katanya.
Lilis Saslinda berkata orang ramai boleh membuat aduan menerusi platform aduan KPDN di talian 1800-88-6800, nombor WhatsApp KPDN iaitu 019-2794317 atau berkunjung ke mana-mana pejabat KPDN di seluruh negeri. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram