Peniaga letak syarat wajib beli gula premium akan diambil tindakan tegas


  • Primer
  • Ahad, 27 Ogos 2023

Sebuah premis perniagaan di Batu Gajah diserbu pada Sabtu selepas didapati menjual gula pasir secara bersyarat.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang meletakkan syarat mewajibkan pembelian satu kilogram gula putih jernih (premium) terlebih dahulu, jika mahu membeli gula pasir kasar.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tanpa kebenaran pengawal bekalan.

"Syarat itu tidak boleh diletakkan dan kalau ada, sila laporkan kepada kita kerana di bawah perintah bekalan itu, peniaga tidak boleh meletakkan syarat sedemikian dan kita akan ambil tindakan bersesuaian.

"Kita ada terima (aduan) dan kita dapat selesaikan aduan itu serta merta,” katanya selepas Program Bimbingan Usahawan dan Sesi Libat Urus bersama Intermediari Korporat SSM 2023 Peringkat Negeri Johor, di Hotel Holiday Villa di Johor Bahru, Johor pada Ahad.

WhatsApp Image 2023-08-27 at 17.51.03

Armizan ketika menghadiri Program Bimbingan Usahawan dan Sesi Libat Urus bersama Intermediari Korporat SSM 2023 Peringkat Negeri Johor, di Hotel Holiday Villa di Johor Bahru pada Ahad. — Bernama

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu sebuah premis perniagaan di Batu Gajah, Perak yang diserbu selepas didapati menjual gula pasir secara bersyarat.

Pada Sabtu, sebuah premis perniagaan di Batu Gajah diserbu selepas didapati menjual gula pasir secara bersyarat.

Armizan dalam pada itu berkata, KPDN bersama beberapa kementerian seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mencari solusi jangka panjang bagi mengatasi isu gula.

"Isu ini memerlukan solusi jangka panjang yang melibatkan beberapa kementerian dan baru-baru ini pun saya mempengerusikan beberapa mesyuarat untuk mencari solusi jangka panjang.

"Kita juga akan pastikan pengilang yang bertanggungjawab untuk membekalkan gula rakyat bertapis putih (kasar dan halus) sebanyak 42,000 metrik tan sebulan, itu yang mereka perlu tunaikan begitu juga pemborong kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Syarikat 2016, akan dibentangkan Oktober depan bagi memperkenalkan peruntukan baharu untuk membantu syarikat yang mengalami masalah kewangan secara menyeluruh, bukan hanya ketika berlaku pandemik. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram