Padah cederakan, sebut perkataan kurang sopan terhadap Syed Saddiq, Papagomo didenda RM2,100


Papagomo (kiri) didapati bersalah selepas mencederakan Syed Saddiq dan menyebut perkataan kurang sopan.

MAHKAMAH Majistret Kajang, Selangor pada Selasa menjatuhkan hukuman denda RM2,100 ke atas bekas Exco Pemuda UMNO, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, selepas didapati bersalah mencederakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan menyebut perkataan kurang sopan serta menghina Ahli Parlimen Muar itu.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Wan Muhammad Azri, 40, pada akhir kes pembelaan.

"Oleh itu, tertuduh (Wan Muhammad Azri) didapati bersalah atas dua pertuduhan. Bagi pertuduhan pindaan iaitu menyebut perkataan kurang sopan dan menghina, tertuduh didenda RM100 dan penjara sehari jika gagal membayar denda manakala pertuduhan mencederakan, tertuduh didenda RM2,000 dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda,” katanya.

Muhammad Noor Firdaus dalam penghakimannya berkata bagi pertuduhan menyebut perkataan kurang sopan serta menghina, ia perbuatan yang mengganggu-gugat keamanan.

"Bagi pertuduhan mencederakan, ia hanya melibatkan beberapa pergerakan kecil jari, namun mendatangkan rasa sakit kepada mangsa (Syed Saddiq) yang juga saksi dalam kes tersebut. Sehubungan itu, hukuman (mencederakan) haruslah setara dengan kekasaran yang dilakukan,” kata majistret itu.

Selepas menjatuhkan hukuman, Muhammad Noor Firdaus mengingatkan tertuduh dan orang awam yang berada di galeri awam dengan memetik sepotong ayat hadis iaitu "seorang Muslim (yang sempurna) ialah seorang yang selamat daripada lidah dan tangannya".

"Mahkamah dimaklumkan tertuduh menuntut di sebuah sekolah pondok, mungkin ini adalah masa yang tepat untuk saya mengingatkan diri sendiri dan semua tentang apa yang ditinggalkan kepada kita.

"Saya turut menzahirkan penghargaan kepada pihak peguam dan pendakwaan yang mengendalikan kes ini atas kesantunan dan kerjasama yang ditonjolkan,” katanya.

Semasa rayuan terhadap hukuman, peguam Nik Saiful Adli Burhan mewakili Wan Muhammad Azri memohon anak guamnya dikenakan hukuman berbentuk denda paling rendah atas alasan tertuduh kini hanya peniaga dan pendapatannya tidak menentu.

"Selepas kejadian ini, beliau tidak pernah melakukan kesalahan termasuk kekerasan. Ini membuktikan dia seorang yang baik dan insaf atas perbuatannya,” katanya dan menambah tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada mahkamah sepanjang perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon hukuman sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat."Mahkamah perlu mengambil kira tertuduh merupakan orang yang dikenali masyarakat dan sepatutnya memberi contoh baik kepada umum. Mangsa mengalami kecederaan dan percakapan tertuduh mungkin dianggap biasa oleh tertuduh tetapi bukan dianggap biasa bagi individu lain,” katanya.

Seramai 11 saksi pendakwaan termasuk Syed Saddiq memberi keterangan pada perbicaraan bermula 4 Nov 2019 manakala pada peringkat pembelaan seramai enam saksi termasuk Wan Muhammad Azri memberikan keterangan.

Pada 21 Feb lepas, Mahkamah Majistret memerintah Wan Muhammad Azri membela diri atas pertuduhan mencederakan Syed Saddiq dan pertuduhan pindaan iaitu menyebut perkataan kurang sopan dan menghina Syed Saddiq.

Sebelum ini, dia didakwa atas pertuduhan mengaibkan kehormatan ahli Parlimen tersebut di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Wan Muhammad Azri menghadapi pertuduhan menyebut perkataan kurang sopan dan menghina iaitu "kau bodoh” terhadap Syed Saddiq, iaitu keamanan mungkin terganggu di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian pada 11.05 pagi, 16 Feb 2019, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Dia turut didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pengasas parti Ikatan Demokratik Malaysia (Mudan itu pada bahagian leher dan bahu, di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram