[VIDEO] Najib, Arul Kanda kekal bebas tuduhan pinda laporan audit 1MDB


Najib yang kekal bebas daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB pada Selasa.

MAHKAMAH Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebas dan melepaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy, daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB pada Selasa.

Keputusan untuk membatalkan dua notis rayuan pendakwaan dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal untuk mengemukakan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan dan tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk melanjutkan tarikh memfailkan petisyen rayuan.

Keputusan itu juga dibuat oleh tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin yang menolak dua notis rayuan dikemukakan pihak pendakwaan.

Pada masa yang sama, Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim memohon mahkamah menetapkan tarikh pengurusan lain bagi membolehkan pendakwaan memfailkan notis permohonan untuk memfailkan petisyen rayuan di luar tempoh masa dalam prosiding pada Selasa.

Yusaini Amer berkata, kes berkenaan membabitkan kepentingan awam dan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dan mengkaji rekod rayuan selepas ditanya oleh Hakim Datuk Hadhariah berkenaan kelewatan dari pihaknya.

"Ini keputusan terbaru pengurusan tertinggi Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memfailkan (petisyen) rayuan," katanya.

Bagaimanapun Peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili Arul Kanda dan Tan Sri Muhammad Shafee yang mewakili Najib, membantahnya.

Sementara itu, Hakim Hadhariah yang membacakan keputusan panel berkata, berdasarkan kronologi, sudah ada tiga pengurusan kes rayuan berkenaan iaitu pada 28 Julai, 28 Ogos dan 30 Ogos lalu setelah mengambil keterangan daripada kedua-dua belah pihak.

Menurut hakim tersebut, pendakwaan selaku perayu sudah diberi arahan untuk memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang sudah ditetapkan namun gagal mematuhi arahan mahkamah.

"Mengikut undang-undang (Seksyen 53(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964) apabila petisyen rayuan gagal difailkan dalam tempoh masa yang ditetapkan (10 hari) dan tiada permohonan lanjutan masa dibuat, maka rayuan dianggap luput dan terbatal, itu peruntukan undang-undang.

"Pada hemat kami, apa-apa permohonan lanjutan masa hendaklah dibuat sebelum tarikh akhir pemfailan, dalam kes ini tarikh terakhirialah pada 6 Julai 2023 dan sehingga hari ini ia sudah lewat lebih dua bulan dan permohonan lanjutan masih tidak dibuat.

"Oleh kerana kes ini dibawa ke hadapan panel ini, kami membuat perintah bahawa kedua-dua notis (rayuan) ini dibatalkan," katanya.

Pada 3 Mac 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan telah membebaskan Najib dan Arul Kanda tanpa memanggil mereka untuk membela diri.

Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada 9 Mac, 2023.

Bagaimanapun pihak pendakwaan telah tidak memfailkan petisyen rayuan mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan dan juga tidak memfailkan apa-apa permohonan untuk lanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuan tersebut.

Menurut prosedur mahkamah, petisyen rayuan perlu difailkan dalam tempoh 10 hari selepas menerima rekod rayuan dari Pendaftar Mahkamah Tinggi. Petisyen rayuan itu akan mengandungi alasan mengapa pihak pendakwaan membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Najib, 70 tahun, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45 tahun, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016. — The Star/ARFA YUNUS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram